NFA: Krisis kepercayaan terhadap keadilan

NFA: Krisis kepercayaan terhadap keadilan

FENOMENA tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kalangan ahli politik mencabar asas kepercayaan rakyat terhadap keadilan, kesaksamaan dan integriti negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ISU keadilan dan ketelusan dalam sistem perundangan sentiasa menjadi perhatian utama masyarakat, khususnya apabila melibatkan tokoh politik dan individu berprofil tinggi.
Baru-baru ini, statistik rasmi mendedahkan lebih dua pertiga daripada kertas siasatan jenayah terhadap ahli politik sejak 2020 diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Angka ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat mengenai sejauh mana prinsip keadilan dipraktikkan secara adil dan saksama tanpa mengira pangkat, kedudukan atau pengaruh politik.
Walaupun NFA merupakan klasifikasi yang sah dari sudut undang-undang, hakikat majoriti kes melibatkan ahli politik berakhir tanpa pendakwaan menghakis keyakinan awam terhadap proses perundangan negara.
Perasaan tidak puas hati bertambah apabila rakyat melihat perbandingan layanan berbeza terhadap kes-kes kecil melibatkan orang biasa yang sering dibawa ke mahkamah, walaupun nilai kesalahan mereka sangat minimum.
Perkara ini mewujudkan tanggapan wujudnya dua set keadilan iaitu untuk rakyat biasa dan golongan berkuasa.
Secara asasnya, klasifikasi NFA tidak bermaksud sesuatu kes itu ditutup selama-lamanya. Dalam undang-undang jenayah, tiada had masa ditetapkan. Maka, jika wujud bukti atau perkembangan baharu, siasatan boleh dibuka semula dan tindakan lanjut boleh diambil. Namun begitu, persepsi masyarakat seringkali berbeza.
Statistik yang menunjukkan lebih 68 peratus kes berakhir dengan NFA dianggap sebagai kegagalan sistemik untuk menegakkan akauntabiliti.
Walaupun pihak berkuasa menegaskan penilaian dibuat secara objektif berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang, namun keraguan ini tetap timbul apabila angka NFA begitu tinggi dalam kes-kes yang membabitkan ahli politik.
Apabila rakyat melihat individu berkuasa bebas daripada pendakwaan walaupun disiasat, mereka mula hilang keyakinan terhadap integriti institusi. Krisis kepercayaan ini memberi kesan besar terhadap budaya politik dan tadbir urus negara.
• Merosakkan keyakinan terhadap sistem keadilan
Rakyat mula percaya undang-undang hanya tegas terhadap yang lemah tetapi longgar terhadap yang berkuasa.
• Menghakis budaya integriti
Apabila tokoh politik yang disiasat terus aktif memegang jawatan tanpa dikenakan tindakan, mesej yang dihantar kepada masyarakat ialah salah laku boleh diterima asalkan seseorang mempunyai kuasa atau pengaruh.
• Meningkatkan sikap sinis dan apati politik
Generasi muda mula merasa melawan rasuah tidak membawa makna kerana akhirnya semua akan dilepaskan juga. Hal ini membantutkan usaha melahirkan generasi berintegriti.
Dalam konteks inilah, organisasi masyarakat sivil seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memainkan peranan penting.
Tanggungjawab utama bukan sahaja menekan institusi agar lebih telus tetapi juga mendidik rakyat supaya memahami proses undang-undang dengan lebih jelas.
MCW boleh berperanan melalui beberapa pendekatan:
• Menganjurkan  wacana awam
Perlu ada sesi penerangan kepada masyarakat tentang maksud NFA, beza antara bukti tidak mencukupi dengan campur tangan politik dan hak rakyat untuk menuntut ketelusan.
• Memantau dan  melaporkan trend siasatan
Dengan menyediakan laporan tahunan mengenai status siasatan dan pendakwaan, MCW boleh menjadi rujukan bebas yang dipercayai.
• Menggalakkan perlindungan pemberi maklumat
Banyak kes gagal kerana saksi takut tampil. MCW harus mendesak kerajaan memperkukuh akta perlindungan pemberi maklumat agar lebih ramai berani melaporkan rasuah.
• Membina jaringan dengan belia dan pelajar
Generasi muda perlu dididik supaya memahami integriti bukan sekadar slogan tetapi prinsip hidup. Program seperti ‘kod kepercayaan’ atau bengkel kepimpinan berintegriti boleh memperkukuh kefahaman ini.
TOLAK CAMPUR TANGAN POLITIK
Pihak berkuasa menegaskan semua keputusan dibuat berdasarkan bukti tanpa mengambil kira latar belakang politik individu. Namun, selagi ketelusan penuh tidak dizahirkan, persepsi masyarakat sukar berubah.
Di sinilah kepentingan reformasi institusi. Tindakan pendakwaan perlu benar-benar bebas, tidak terikat dengan mana-mana kuasa eksekutif.
Malah, di sesetengah negara, pihak pendakwa raya diberi autonomi penuh tanpa arahan kerajaan. Malaysia perlu meneliti model-model sebegini agar tiada lagi syak wasangka bahawa keputusan pendakwaan boleh ‘diatur’.
PECAH KITARAN NFA
Klasifikasi NFA tidak boleh dijadikan norma. Jika dibiarkan, ia akan melahirkan budaya kebal undang-undang dalam kalangan ahli politik. Untuk memecahkan kitaran ini, beberapa langkah penting perlu diberi perhatian:
• Ketelusan penuh dalam laporan siasatan
Masyarakat perlu tahu alasan jelas mengapa sesuatu kes diklasifikasikan NFA.
• Penubuhan jawatankuasa bebas semakan kes
Setiap kes berprofil tinggi yang berakhir dengan NFA perlu disemak jawatankuasa bebas terdiri daripada bekas hakim, peguam dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
• Penguatkuasaan lebih tegas terhadap kes rasuah
Hukuman berat perlu dikenakan bagi membuktikan tiada siapa kebal undang-undang.
• Penglibatan rakyat melalui media dan advokasi
Tekanan awam adalah kuasa besar. Semakin rakyat mendesak ketelusan, semakin sukar bagi mana-mana pihak menyembunyikan kebenaran.
Malaysia sedang melalui proses panjang reformasi institusi. Walaupun statistik NFA terhadap ahli politik mengecewakan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk rakyat berhenti menuntut keadilan. Sebaliknya, ia seharusnya menjadi pemangkin untuk mendesak perubahan lebih besar.
Kebangkitan masyarakat sivil dalam memantau, mendidik dan menekan kerajaan adalah jalan ke hadapan. Integriti tidak akan lahir hanya daripada teks undang-undang tetapi daripada keberanian rakyat untuk berkata benar, walaupun terhadap pemimpin mereka sendiri.
MCW percaya, membina negara berintegriti memerlukan gabungan usaha semua pihak termasuk kerajaan, NGO, akademik, media dan rakyat.
Statistik NFA yang tinggi hanyalah cerminan masalah, bukan noktah terakhir. Selagi ada kesedaran dan tekanan kolektif, Malaysia mampu keluar daripada budaya impunitas kepada budaya akauntabiliti.
Fenomena NFA terhadap ahli politik bukan sekadar isu teknikal undang-undang. Ia mencabar asas kepercayaan rakyat terhadap keadilan, kesaksamaan dan integriti negara.
Perjuangan membanteras rasuah tidak boleh berhenti di tengah jalan. Integriti mesti menjadi asas negara. Setiap rakyat berhak melihat undang-undang ditegakkan tanpa pilih kasih agar Malaysia benar-benar bebas rasuah, telus dan adil untuk semua.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×