NAMPAKNYA setiap kerajaan di negara ini belum mempunyai kemahuan politik untuk mengangkat versi bahasa Melayu sebagai naskhah sahih untuk Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana pemimpin politik, secara umumnya memiliki komitmen kuat untuk mengambil tindakan bagi mencapai matlamat ini.
Sesungguhnya kemahuan politik ini adalah faktor amat penting untuk melaksanakan apa-apa jua yang dihasratkan untuk kebaikan negara.
Ia juga sebenarnya penting sekali untuk negara memberi keutamaan selain menangani pelbagai persoalan dengan berkesan melalui usaha mapan lagi mampan.
Jauh lebih penting daripada ini ialah ia menyediakan kerangka untuk rakyat menilai keseriusan dan ketulusan pemimpin dalam menyelesaikan permasalahan negara.
Untuk menjadikan versi bahasa Melayu teks berwibawa untuk Perlembagaan Persekutuan, antara hujah penting lagi utama yang diketengahkan kerajaan melalui agensi perundangannya ialah tidak semua perkataan dalam bahasa Inggeris mempunyai padanannya yang tepat dalam bahasa Melayu. Oleh itu, kerajaan amat berhati-hati dengan versi bahasa Melayu itu yang telah lama disiapkan Jabatan Peguam Negara (JPN).
Melalui kenyataan rasmi ini, dapat dirumuskan kerajaan masih belum yakin untuk menggunakan versi bahasa Melayu tersebut, walaupun ia telah diterjemahkan oleh pihak kerajaan sendiri. Dalam hal ini, JPN merupakan agensi utama yang bertanggungjawab menggubal semua perundangan negara.
Selanjutnya, ia menyemak untuk mengemas kini semua undang-undang, di samping melakukan pembaharuan pada pelbagai bidang yang dikenal pasti.
Tidak dapat dinafikan bukan sahaja bahasa Melayu, malah semua bahasa lain di dunia, termasuklah yang besar, tidak selalu mempunyai perkataan di dalamnya yang memiliki padanan tepat kepada setiap perkataan dalam bahasa Inggeris, yang merupakan bahasa antarabangsa paling berkuasa pada masa ini. Pun begitu, ini sama sekali tidak bermakna semua bahasa lain tidak setepat bahasa Inggeris dalam mengungkapkan makna.
Sebenarnya dalam hal ini, setiap bahasa itu mempunyai fokus budayanya yang tersendiri. Ini bermakna pada fokus itu bahasa berkenaan mempunyai bukan sahaja banyak perkataan, juga yang mampu membezakan pelbagai rincian makna.
Sehubungan ini, apabila sesuatu bahasa itu tiada fokus khusus terhadap sesuatu bidang itu, bahasa tersebut didapati kurang mampu menterjemahkan sesuatu konsep dalam bidang itu dengan tepat melalui padanan satu perkataan sahaja.
Hal ini dapat dilihat apabila bahasa Inggeris perlu menterjemahkan perkataan junjung, jinjing, kendong dan kepit dalam bahasa Melayu. Ia tiada padanan tepat dalam bentuk satu perkataan sahaja, melainkan diperikan makna semua perkataan itu dalam bentuk ungkapan yang terdiri daripada beberapa perkataan.
Sebenarnya terjemahan dalam bentuk bukan satu perkataan sahaja begitu lumrah. Oleh itu, ia tidak boleh sesekali dijadikan alasan bagi kita belum bersedia untuk mengangkat versi bahasa Melayu sebagai naskhah sahih untuk Perlembagaan Persekutuan.
Inilah kekangan paling besar lagi utama yang dihujahkan kerajaan tentang kenapa versi bahasa Melayu belum mahu diangkatnya sebagai teks berwibawa.
Selanjutnya dalam ketidaksediaan ini, teks bahasa Inggeris Perlembagaan Persekutuan dengan bangganya dihujahkan sebagai diteliti dan dimuktamadkan di England oleh Office of the Parliamentary Counsel (OPC) di United Kingdom (UK).
Untuk makluman, OPC adalah badan guaman kerajaan di sana yang diberikan tangggungjawab menggubal undang-undang untuk menjadikannya jelas lagi mangkus untuk Parlimen di UK.
Dalam hal ini, OPC kuat diyakini kerajaan Malaysia untuk pertama-tamanya memastikan tidak adanya ketaksaan, yakni keadaan susah faham kerana terdapat dua atau lebih makna, dan ketidakselarasan, iaitu keadaan tidak tetap kerana berubah-ubah maknanya, dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dengan ini, kerajaan amat yakin versi bahasa Inggeris Perlembagaan Persekutuan itu tiadavpun ketaksaan dan ketidakselarasan, setelah diamati dan disahkan oleh OPC.
Berdasarkan teks bahasa Inggeris yang diusahakan OPC yang mempunyai reputasi dalam menyediakan perundangan berpiawai selain berkualti tinggi, kita sepatutnya harus yakin dengan kandungan perundangannya untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Dalam hal ini, ia terjemahan semata-mata daripada teks asalnya dalam bahasa Inggeris tanpa adanya apa-apa jua tokok tambah. Justeru terjemahan itu pasti tepat dan tidak perlu dibimbangi langsung.
Malah dalam hal terjemahan ke dalam bahasa Melayu pada versi bahasa Melayu itu, kerajaan memberi jaminan yang ia dilakukan dengan cermat sekali oleh JPN. Sehubungan ini, setiap padanan dalam bahasa Melayu diakui kerajaan, dipilih dengan penuh rapi berdasarkan teks bahasa Inggeris.
PILIHAN SEKTOR PERUNDANGAN
Seperti yang dinyatakan kerajaan, terjemahan dalam bahasa Melayu kini digunakan secara meluas oleh pengamal undang-undang dan masyarakat umum di negara ini.
Tambah kerajaan lagi, teks terjemahan dalam bahasa Melayu kini boleh diperoleh dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat dan ia tidak hanya kepunyaan eksklusif pengamal undang-undang sahaja.
Dalam hal ini, kerajaan turut berbangga teks bahasa Melayu itu adalah salah satu usahanya untuk memastikan undang-undang tertinggi negara difahami dengan lebih mudah oleh semua rakyat Malaysia.
Sebenarnya kenyataan kerajaan dalam hal ini bersifat campuran, iaitu ada yang positif dan juga yang negatif. Ia positif apabila kerajaan mengakui telah mengambil langkah penuh hati-hati untuk memastikan terjemahannya tepat agar tidak sesekali taksa selain selalu konsisten.
Dengan ini, naskhah bahasa Melayu ini juga digambarkan kerajaan sebagai diterima baik. Dalam hal ini, ia digunakan secara meluas oleh pengamal undang-undang dan masyarakat.
Setelah dinyatakan secara positif dengan penuh kebanggaan, mengapa kerajaan masih negatif untuk tidak mahu meneruskan langkah akhir lagi mengujakan ini, dengan menjadikan versi bahasa Melayu sebagai teks berwibawa untuk Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya tindakan ini bukan sahaja sangat merangsangkan sifatnya, juga ia pengakhiran yang penuh dengan emosi gembira bagi sebuah negara merdeka yang berdaulat.
Cukup ironi sekali sesudah adanya naratif begitu menyakinkan oleh kerajaan sendiri bahawa JPN melakukan terjemahan dengan penuh cakna, ia masih mahu bersifat amat berwaspada dalam mengangkat versi bahasa Melayu sebagai teks berwibawa untuk Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya dari satu segi kerajaan tidak berani, justeru menyatakan ia harus lebih berhati-hati dengan teks terjemahan yang walaupun diakuinya dilakukannya dengan baik oleh JPN. Dari satu segi lain, tidak keterlaluan untuk dinyatakan kerajaan memang tidak mahu melakukannya atas sebab yang ia sendiri ketahui, walaupun setelah dititahkan Ketua Negara pada 2003 lagi.
Lebih ironi lagi ialah Perlembagaan Persekutuan yang dijolokkan sebagai perundangan tertinggi di bumi Melayu-Islam ini, langsung tidak diyakini pemimpin Melayu-Islamnya untuk diungkapkan dalam bahasa watan mereka sendiri.
Nampaknya Perlembagaan Persekutuan kita akan terus-terusan menggunakan teks bahasa Inggeris sebagai teks berwibawanya.
Manakala teks bahasa Melayu akan selama-lamanya berupa hanya teks terjemahan untuk rujukan umum sahaja.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










