MANCHESTER, England: Penjaga gol Manchester United, Andre Onana melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke kelab Turkiye, Trabzonspor semalam.
Perpindahan Onana telah dijangka sejak United mendapatkan khidmat Senne Lammens dari Royal Antwerp pada hari terakhir jendela perpindahan minggu lalu.
Pembelian Lammens dengan harga 18.2 juta pound (RM104 juta) menyaksikan United kini memiliki empat penjaga gol.
Walaupun kelab menyatakan mereka tiada masalah mengekalkan bilangan itu namun masa depan Onana yang bergelut dengan prestasinya sudah lama dipersoalkan.
Penjaga gol antarabangsa Turkiye, Altay Bayindir kini menjadi pilihan United apabila telah beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan EPL musim ini, manakala Onana hanya bermain sekali iaitu ketika kekalahan mengejut United kepada kelab divisyen empat, Grimsby Town pada pusingan kedua Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol berusia 29 tahun itu yang dibeli dari Inter Milan dengan harga 47.2 juta pound (RM270 juta) pada 2023, dipersalahkan atas dua gol dijaringkan Grimsby pada perlawanan itu.
Onana adalah penjaga gol No.1 United musim lalu tetapi kecederaan hamstring membuatkannya terlepas aksi pramusim.
Dia yang kini bersama skuad kebangsaan Cameroon dijangka akan membuat penampilan sulung bersama Turkiye menentang Fenerbahce pada Ahad. – AGENSI/UTUSAN










