Laluan peringkat tiga mencabar, mampu jadi ‘kubur’ peloton

Laluan peringkat tiga mencabar, mampu jadi ‘kubur’ peloton

PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi tahun ini menyaksikan beberapa laluan kembali diperkenalkan bagi memastikan perlumbaan menjadi lebih mencabar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Bekas pelumba kebangsaan, Musairi Musa memberi amaran awal kepada pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 supaya lebih berwaspada apabila berdepan peringkat ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh hari ini yang disifatkan sebagai antara laluan paling mencabar.

Menurutnya, pendakian ke Banjaran Titiwangsa dari arah Gerik jauh lebih mencabar berbanding laluan bertentangan pada edisi 2023 kerana kecerunannya yang lebih ‘tegak’ berpotensi memecahkan peloton seawal pendakian.

“Gerik ini bahaya sikit. Kalau ada yang tercicir masa mendaki, memang payah nak kembali sebab selepas itu laluan rata sehingga ke Pasir Puteh. Semua bergantung kepada kerja berpasukan di depan atau belakang,” katanya.

Musairi menjelaskan, jika kumpulan pendahulu berjaya melepasi pendakian Puncak Titiwangsa, mereka berpeluang besar mengekalkan kelebihan kerana kelajuan menuruni Jeli hingga Tanah Merah dan Machang mampu mencecah 40 hingga 50 kilometer sejam.

“Kalau pasukan besar seperti XDS Astana berada di depan, mereka boleh kawal perlumbaan. Pendaki mereka ada peluang cerah untuk menang tanpa perlu tunggu pakar pecut. Kalau jurang sudah besar, kumpulan belakang memang susah hendak kejar,” ujarnya.

Laluan sejauh 198.2 kilometer itu menampilkan tiga zon pendakian awal dengan kategori 3 di Gerik (18.1km), kategori 2 di Sri Banding (26.0km) serta kategori 1 di Puncak Titiwangsa (65.9km) yang dijangka menjadi titik pemisah utama peloton.

Selepas menuruni Jeli, laluan ke Pasir Puteh lebih rata dengan tiga zon pecutan di Jeli (117.3km), Bukit Bunga (134.1km) dan Machang (179.1km) yang bakal memberi ruang kepada pakar pecut jika jurang tidak terlalu jauh.

Musairi percaya peringkat ketiga ini bakal menjadi ‘pemecah peloton’ sekali gus penentu awal dalam perebutan jersi utama LTdL edisi kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×