TOKYO: Ratu pecut jarak sederhana dunia, Faith Kipyegon sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila meraih emas keempat acara 1,500 meter (m) di Kejohanan Olahraga Dunia, semalam.
Pelari Kenya berusia 31 tahun itu melengkapkan larian penuh bergaya dari mula hingga ke garisan penamat dengan catatan 3 minit 52.15 saat (s), jauh meninggalkan pencabar lain.
Rakan senegara, Dorcus Ewoi menghadiahkan Kenya perak dengan catatan peribadi terbaik 3:54.92s, manakala Jessica Hull memastikan Australia membawa pulang gangsa bersejarah 3:55.16s.
“Dapat mempertahankan gelaran dan memenangi emas keempat adalah sesuatu yang sangat istimewa.
“Saya pernah menang di Tokyo pada Olimpik 2021 selepas bergelar ibu, jadi kali ini lebih bermakna kerana saya mampu menunjukkan pingat emas baharu kepada anak saya,” kata Kipyegon.
Dominasi Kipyegon meletakkannya sebaris legenda Maghribi, Hicham El Guerrouj, yang pernah menggenggam empat kejuaraan dunia acara sama dari 1997 hingga 2003.
Lebih menarik, kejayaan Ewoi hampir disempurnakan dengan kemenangan hatrik Kenya selepas Nelly Chepchirchir turut mencatat masa peribadi terbaik 3:55.25s namun sekadar di tempat keempat.
Kipyegon kini memburu emas kedua minggu ini apabila kembali turun di Stadium Olimpik Tokyo untuk acara 5,000m dengan pusingan akhir dijadualkan Sabtu ini. – AGENSI/UTUSAN









