Kejohanan Dunia bukan kegagalan Umar - Manshahar

Kejohanan Dunia bukan kegagalan Umar – Manshahar

UMAR Osman (dua dari kanan) ketika beraksi dalam saringan 400 meter Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil menegaskan prestasi jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman pada Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo wajar dilihat sebagai pendedahan berharga dan bukannya kegagalan.

Tegas beliau, pelari berusia 22 tahun masih berada di fasa awal untuk bersaing di pentas tertinggi dengan lawan yang merekodkan catatan sekitar 43 hingga 45 saat (s).

“Pada saya Umar sudah buat yang terbaik, 46.43 saat bukan jauh sangat daripada rekod kebangsaannya 46.09s, cuma tahap dunia sekarang memang terlalu sengit.

“Ini proses, kita kena bagi dia peluang kerana pengalaman dan latihan yang cukup akan mematangkan Umar untuk bersaing lebih tinggi nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahad lalu, beraksi di Stadium Nasional Tokyo, anak jati Johor itu menamatkan perlumbaan 400m saringan ketiga di tempat tercorot dengan catatan 46.43s.

Beraksi menerusi tiket wild card, Umar gagal menyaingi pelari Amerika Syarikat (AS), Jacory Patterson yang memenangi saringan dengan mencatat masa 43.90s, diikuti Rusheen McDonald dari Jamaica (44.38s) dan Edoardo Scotti dari Itali (44.45s).

Dalam pada itu, Manshahar menambah kehadiran Umar di Tokyo lebih bersifat sebagai usaha mengembalikan rentak selepas beberapa siri kejohanan antarabangsa.

Katanya, jurulatih peribadi atlet itu, Simon Lau juga lebih memberi tumpuan kepada memulihkan prestasi dan mengukuhkan keyakinan.

“Jurulatih peribadinya, Simon Lau pun bukan menyediakan khusus untuk Kejohanan Dunia ini, namun lebih kepada proses untuk dia dapat balik catatan peribadi dan kembalikan rentak larian,” katanya.

Beliau percaya sasaran sebenar Umar adalah di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini dengan catatan masa yang lebih konsisten.

“Dia baru 22 tahun, banyak lagi ruang untuk diperbaiki dan saya yakin masa depan Umar masih cerah,” ujar Manshahar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN