PETALING JAYA: Jurulatih kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menyifatkan disiplin tinggi dan kesungguhan pemain menjadi kunci utama kepada kemenangan besar Speedy Tigress ke atas Taiwan.
Skuad hoki wanita kebangsaan melakar kemenangan bergaya apabila membelasah Taiwan 8-0 dalam aksi penentuan kedudukan lima hingga lapan Piala Asia Wanita semalam.
“Alhamdulillah, kita menang lagi hari ini (semalam). Pemain bermain dengan cukup baik pada kuarter pertama dan kedua, malah kita berjaya menghukum pihak lawan dengan jaringan yang cantik,” katanya.
Namun, beliau mengakui kecederaan dua tonggak utama sedikit menjejaskan rentak pasukan pada kuarter tiga dan empat, sekali gus memaksa anak buahnya mengawal tenaga bagi mengelak risiko lebih besar.
“Walaupun ada pemain cedera, mereka tetap ikut arahan, terus memberi tekanan kepada lawan. Itu yang membuatkan kita mampu kekal dominan hingga tamat perlawanan,” jelasnya.
Mohd Nasihin menyeru para pemain untuk mengekalkan momentum ini untuk perlawanan terakhir berdepan Singapura bagi memastikan keputusan terbaik mampu dibawa pulang ke tanah air.
“Saya mahu pemain terus kekalkan semangat juang, mereka. Kita akan berikan segala-galanya lawan Singapura. Saya percaya pemain bersedia dan mampu lakukan yang terbaik,” tegasnya.
Anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila Siti Nur Arfah Mohd Nor membuka tirai jaringan seawal minit ketiga, sebelum rentetan gol terus meletakkan Malaysia jauh di depan.
Nur Afiqah Syahzani Azhar, Nuramirah Shakirah Zulkifli, Nur Aisyah Che Musa dan Hanis Nadiah Onn turut mencatat nama selaku penjaring dalam pesta gol tersebut. – UTUSAN










