ASEAN wajar bangkit menentang kekejaman Israel

ASEAN wajar bangkit menentang kekejaman Israel

WALID ABU ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEKEJAMAN Israel masih berterusan sehingga kini. Malah, Gaza terus dikepung dan dikenakan sekatan sehingga mencetuskan krisis kebuluran.

Disebabkan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini memberi cadangan agar keanggotaan Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digantung atau dibuang segera susulan tidak menghormati gencatan senjata ke atas Gaza.

Justeru wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Duta Palestian ke Malaysia, WALID ABU ALI bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN.

 


UTUSAN: Anda percaya ASEAN mempunyai kuasa untuk menggantung atau menggugurkan keanggotaan Israel?

WALID: Rakyat Palestin memberikan sokongan penuh kepada Mohamad apabila beliau menggesa penggantungan atau pengusiran Israel daripada PBB serta pelaksanaan sekatan menyeluruh terhadap Israel.

Malah, rakyat Palestin menganggap ia satu tindakan penting dan konkrit, yang buat pertama kalinya mereka saksikan sebagai langkah nyata dan bukan sekadar kecaman atau retorik semata-mata.

Selain itu, ia mencerminkan komitmen teguh terhadap keadilan bagi menangani pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.

Bagi kami, cadangan ini selaras dengan prinsip Piagam PBB dan secara langsung mencabar kekebalan Israel terhadap pelanggaran resolusi utama PBB.

Kami tahu, walaupun ASEAN tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan penggantungan keahlian PBB, namun pengaruh sebagai blok serantau yang mewakili lebih 650 juta penduduk selain peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, memberikan kekuatan diplomatik yang besar.

Apa yang paling penting, majoriti negara anggota ASEAN mengiktiraf Palestin. Kepimpinan Malaysia terutamanya seperti yang ditonjolkan dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) 2024 memperlihatkan potensi ASEAN untuk membentuk pendapat global dan menggerakkan sokongan antarabangsa.

ASEAN boleh memainkan peranan penting dalam menyokong resolusi, sekatan dan embargo senjata terhadap Israel.

 

Adakah anda akan mengemukakan sebarang usul kepada Menteri Luar Malaysia untuk menyokong cadangan tersebut?

Cadangan Malaysia untuk menggantung keahlian Israel di PBB di bawah Artikel 6 Piagam PBB selaras perjuangan rakyat Palestin terhadap keadilan selepas hampir lapan dekad ditindas.

Apatah lagi dengan cita-cita untuk mewujudkan ‘Israel Raya’ dari Sungai Nil ke Sungai Furat telah mengancam kewujudan Palestin dan kestabilan serantau.

Pimpinan Palestin komited kepada usaha diplomatik, termasuk berunding dengan Menteri Luar Malaysia dan forum antarabangsa seperti Perhimpunan Agung PBB, Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan OIC untuk menggerakkan resolusi yang menyokong penggantungan Israel, sekatan terhadap bekalan senjata dan pendakwaan jenayah perang.

Kami akan bekerjasama rapat dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta dengan negara-negara Arab dan ahli OIC dan blok antarabangsa lain, berpandukan preseden seperti Resolusi PBB 3379, bagi mengumpul sokongan global ke arah penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967 yang merangkumi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis.

Matlamat utama adalah untuk menamatkan penjajahan, menangani krisis kemanusiaan di Gaza dan memastikan keadilan serta keamanan serantau.

 

Dengan banyak negara Eropah kini mengiktiraf Palestin, adakah wajar ASEAN mengambil langkah yang sama?

Peningkatan jumlah negara Eropah yang mengiktiraf Palestin mengukuhkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan berdaulat dalam sempadan 1967, termasuk Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur.

Trend ini menolak penjajahan Israel, perluasan penempatan, pembersihan etnik yang didakwa berlaku, serta cita-cita ‘Israel Raya’ dan pada masa sama menyokong penyelesaian dua negara yang terkandung dalam Inisiatif Keamanan Arab yang disokong oleh negara-negara OIC dan komuniti antarabangsa (kecuali Israel).

Kebanyakan negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Kemboja, Laos, Filipina, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam sudah pun mengiktiraf Palestin.

Tindakan bersama ASEAN untuk pengiktirafan ini akan mengukuhkan kedudukan Palestin di forum antarabangsa, selaras dengan Piagam PBB dan meningkatkan pengaruh diplomatik ASEAN, terutamanya di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Dengan menyokong langkah akauntabiliti seperti sekatan atau prosiding Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), ASEAN boleh mempengaruhi negara-negara yang masih ragu-ragu untuk mengiktiraf Palestin. Langkah ini akan mengesahkan hak Palestin kepada sebuah negara berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan membantu menamatkan kitaran penindasan serta keganasan.

 

Beberapa tahun lalu, beberapa negara Arab menandatangani Perjanjian Abraham. Kini Donald Trump kembali menjadi Presiden, apakah yang boleh dijangkakan daripada pemimpin Arab?

Perjanjian Abraham yang dimulakan pada 2020 ditandatangani secara bebas oleh negara-negara Arab berkenaan, mencerminkan hak kedaulatan mereka dalam menentukan dasar luar masing-masing. Rakyat Palestin mengiktiraf hak tersebut dan menganggap keputusan itu sebagai urusan dalaman negara-negara tersebut.

Namun begitu, rakyat Palestin tetap komited kepada konsensus Arab yang digariskan dalam Inisiatif Keamanan Arab yang disokong oleh OIC dan kebanyakan masyarakat antarabangsa. Inisiatif ini menggesa penubuhan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967.

Dengan pemilihan semula Trump, kami menggesa para pemimpin Arab agar memperbaharui komitmen mereka terhadap prinsip Inisiatif Keamanan Arab.

Kami juga menyeru agar sokongan berterusan diberikan kepada usaha antarabangsa seperti cadangan Malaysia di PBB untuk memperjuangkan akauntabiliti dan mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

 

Sesetengah ahli politik dan media ASEAN menyokong Israel. Apakah pendirian masyarakat ASEAN, termasuk organisasi masyarakat sivil dan komuniti? Bagaimana mereka memberi respons terhadap perang baru-baru ini dari perspektif anda?

Kami sedar setiap negara mempunyai pendekatan tersendiri dalam hubungan antarabangsa, termasuk hubungan diplomatik dan ekonomi yang dijalinkan oleh sesetengah negara ASEAN dengan Israel, sama ada melalui kedutaan atau bentuk wakil lain.

Walaupun kami menghormati keputusan berdaulat tersebut, kami berharap negara-negara ASEAN dan masyarakat mereka dapat turut mengiktiraf keadilan perjuangan rakyat Palestin serta penderitaan mendalam yang mereka alami.

Pendapat awam global kini semakin berpihak kepada perjuangan Palestin, terutamanya selepas krisis kemanusiaan yang dilaporkan, termasuk dakwaan genosid dan kebuluran akibat tindakan Israel dalam dua tahun kebelakangan ini.

Kami tidak berhasrat untuk campur tangan dalam dasar luar negara-negara ASEAN, namun kami berharap rakyat negara-negara tersebut dapat menyuarakan sokongan terhadap perjuangan keadilan Palestin dan membantu usaha-usaha menangani isu-isu kemanusiaan yang sedang berlaku.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×