Amorim tidak bimbang hilang kerja di Old Trafford

Amorim tidak bimbang hilang kerja di Old Trafford

TONGGAK tengah Manchester United, Bruno Fernandes cuba mengawal bola walaupun diasak pemain-pemain Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti Gtech, London, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tidak bimbang mengenai kedudukannya di Old Trafford apabila persoalan itu sekali lagi dibangkitkan berikutan kekalahan 1-3 kepada Brentford, semalam.

Kemenangan ke atas Chelsea tujuh hari lalu memberi sedikit keyakinan, namun ia hilang sekelip mata selepas kekalahan yang menyaksikan United kekal di kelompok bawah Liga Perdana Inggeris (EPL).

United hanya mengutip 34 mata daripada 33 perlawanan liga sejak Amorim mengambil alih dan masih gagal mencatat dua kemenangan berturut-turut.

Harapan untuk melihat peningkatan selepas menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-15 masih belum menampakan hasil dan Amorim sekali lagi ditanya mengenai masa depannya.

“Saya tidak pernah risau tentang pekerjaan saya, saya bukan jenis begitu. Itu bukan keputusan saya. Saya hanya akan lakukan yang terbaik selagi saya di sini,” katanya.

Pihak pengurusan United berulang kali menegaskan sokongan terhadap bekas jurulatih Sporting itu, namun kekalahan seperti ini membuatkan keyakinan mereka terus dipersoalkan, terutama apabila tiada aksi pertengahan minggu yang boleh mengalih perhatian.

“Saya tidak mahu kata mereka patut tukar pengurus, tetapi berapa lama lagi ia boleh berterusan? Nampaknya setiap minggu kita bercakap soal yang sama.

“Saya suka jurulatih yang ada gaya dan kekal dengannya. Tapi itu tidak menjadi. Anda perlu menyesuaikan diri. Saya tak nampak ke mana arah United akan pergi jika mereka tidak tukar pengurus,” kata bekas pemain tengah Wales, Ashley Williams.

Bekas penyerang England, Alan Shearer berpendapat Amorim kini dalam tekanan besar.

“Saya fikir pengurusan kelab sudah buat banyak kesilapan sejak mengambil alih, mereka tidak mahu dilihat buat satu lagi kesilapan dengan melantik jurulatih ini. Saya rasa dia sangat bernasib baik,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN