KANGAR: Stadium Tuanku Syed Putra di sini bakal menjadi tumpuan penyokong bagi menyaksikan aksi antara Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) malam ini.
Kunjungan JDT II dinantikan penyokong bola sepak di negeri ini dan berharap Singa Utara dapat melakukan kejutan dalam perlawanan tersebut.
Selepas mengharungi tiga perlawanan dalam saingan Liga A1 Semi Pro, Perlis yang hanya dibarisi pemain muda dalam kalangan anak tempatan negeri ini dan tidak menggunakan import menunjukkan pretasi memuaskan dengan mengumpul empat mata menerusi satu kemenangan, satu seri dan sekali kalah.
Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, dia yakin semangat para pemain yang beraksi di gelanggang keramat dengan sokongan padu penyokong mampu membantu Perlis untuk melakar kejutan menentang JDT II.
Dalam masa sama, beliau juga berharap penyokong dapat memenuhi stadium memandangkan sudah lama Perlis tidak berdepan pasukan berkualiti tinggi seperti JDT.
Katanya, dalam tiga aksi sebelum ini, Perlis juga menunjukkan permainan yang baik dan yakin untuk bangkit semula selepas kekalahan terakhir menentang Perak baru-baru ini.
“Insya-Allah, kita mampu melakar kejutan menewaskan JDT II. Perlawanan antara Perlis dan JDT ini sememangnya sangat dinanti oleh penyokong bola sepak di negeri ini,” katanya.
Tambah Izizam, para pemain sudah bersedia dengan motivasi cukup tinggi bagi memberikan aksi terbaik seterusnya mendapat tiga mata penuh bagi memperbaiki kedudukan liga.
“Tempoh yang panjang sebelum aksi keempat ini digunakan sebaiknya oleh para pemain berlatih dan menerap semula strategi daripada jurulatih.
“Meskipun sedar, kita bakal berdepan pasukan kuat seperti JDT namun dengan semangat para pemain, tidak mustahil, kita mampu menang terutama di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Sementara itu, seorang penyokong, Zaki Ahmad,41, berkata, dia sudah membeli tiket lebih awal bagi menyaksikan perlawanan Perlis dengan JDT II yang dijangka menjanjikan aksi berkualiti.
“Ramai yang pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang Hari Malaysia tidak melepaskan kesempatan untuk menyaksikan perlawanan Perlis dan JDT ini. Sudah lama, rasanya kami tidak ke stadium untuk menyaksikan aksi besar seperti ini,” katanya. – UTUSAN










