KANGAR: Skuad Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) menyifatkan tiga mata awal sangat penting dalam aksi Liga A1 Semi Pro yang membuka tirai musim ini dengan menentang Kedah di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam ini.
Pengurus pasukan Perlis GSA FC, Amar Rohidan berkata, para pemain yang kesemuanya anak jati negeri itu sudah bersedia memberikan aksi terbaik dan yakin mampu melakukan kejutan menewaskan Kedah.
Katanya, para pemain menunjukkan keserasian yang baik dan terbukti dalam beberapa aksi persahabatan termasuk menentang Imigresen FC pasukan dari Liga Super sebelum ini.
“Keserasian juga terbentuk selepas kebanyakkan pemain ini juga sudah lama bersama termasuk ketika muncul juara Liga A2 musim lalu. Insya-Allah kita akan memberi aksi terbaik bagi mengutip tiga mata cukup berharga.
“Tiga mata dalam aksi pertama cukup penting sebelum kita bertanding gelanggan lawan dalam dua aksi seterusnya selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, aksi menentang Kedah ibarat perlawanan ‘adik abang’ yang sememangnya dinantikan oleh penyokong kedua-dua pasukan.
Katanya, meskipun beraksi tanpa khidmat pemain import namun pemain yang ada terdiri dalam kalangan anak jati negeri itu diyakini mampu memberikan aksi terbaik.
“Perlawanan pertama ini cukup penting dan kita perlu menang. Tiga mata pertama itu akan memberi suntikan semangat kepada pemain menjelang aksi seterusnya selepas itu.
“Saya juga mengharapkan sokongan penuh daripada seluruh warga Perlis untuk ‘turun’ ke stadium dalam memberikan sokongan kepada pasukan. Perlis juga sudah lama tidak merasai kemeriahan bola sepak ini.
“Dalam saingan liga musim ini, kita tidak meletakkan sasaran tertentu, sebaliknya mengharapkan para pemain memberikan persembahan terbaik dan menghiburkan untuk berada pada satu kedudukan terbaik dalam liga,” katanya. – UTUSAN










