Tol tanpa palang: Transformasi mobiliti negara sudah bermula

Tol tanpa palang: Transformasi mobiliti negara sudah bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini memasuki fasa baharu dalam sistem pengangkutan negara dengan pelaksanaan tol tanpa palang menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) bermula Oktober ini. 

Pelaksanaan rintis di laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menandakan permulaan sistem aliran pantas pelbagai lorong (MLFF) iaitu satu inovasi penting dalam pengurusan aliran trafik lebuh raya negara.

Dengan sistem ANPR, pengguna hanya perlu memandu terus tanpa berhenti di plaza tol. Bayaran tol akan dibuat secara automatik tanpa perlu kad Touch ’n Go atau alat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), asalkan kenderaan didaftarkan lebih awal dalam sistem. 

Pelaksanaan ini dijangka mengurangkan kesesakan, mempercepatkan aliran trafik dan mengurangkan pelepasan karbon hasil daripada pemberhentian dan pecutan semula.

Pada hari-hari puncak seperti musim perayaan, PLUS menjangkakan jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (Lebuhraya PLUS) boleh mencecah sekitar 2.2 juta sehari, iaitu peningkatan hampir 20 peratus berbanding trafik harian biasa. Keadaan ini menjadikan sistem kutipan tol tanpa henti sebagai satu keperluan mendesak bagi menangani kesesakan yang berpunca daripada reka bentuk fizikal dan operasi plaza tol sedia ada.

Di peringkat antarabangsa, MLFF bukanlah perkara baharu. Singapura melaksanakan sistem kutipan tol jalan elektronik seawal 1974 yang dikenali sebagai Singapore Area Licensing Scheme (ALS) dan menukarkannya kepada sistem Electronic Road Pricing (ERP) pada 1998. ERP terbukti berjaya mengurangkan kadar kesesakan secara signifikan dan menjadi model rujukan bagi negara serantau.

Taiwan pula memperkenalkan sistem MLFF menyeluruh pada 2014, dioperasikan oleh Far Eastern Electronic Toll Collection (FETC). Sistem tersebut berjaya menjimatkan lebih 1.1 bilion liter bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 2.64 juta tan metrik, selain merekodkan kadar kutipan tol hampir 100 peratus.

Di Malaysia, inisiatif pelaksanaan MLFF adalah antara agenda dalam Pelan Induk Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (2019-2023) dan merupakan satu cadangan penyelesaian utama kepada kesesakan dan pengurangan kemalangan di plaza-plaza tol lebuh raya.

Laporan Tahunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) 2022 menyatakan banyak perkara berkaitan inisiatif MLFF telah mencapai tahap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 peratus, menandakan kesiapsiagaan pelaksanaan berada di landasan yang kukuh.

Sistem ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai 2025, dengan pelaksanaan menyeluruh disasarkan menjelang 2027 tertakluk kepada kelulusan dasar dan kesediaan infrastruktur.

 

CABARAN &  KEPERLUAN PENYELARASAN

Walaupun potensinya besar, pelaksanaan MLFF tidak terlepas daripada cabaran. Kebergantungan sistem kepada ketepatan kamera dan kejelasan nombor plat kenderaan menjadikan pematuhan spesifikasi piawaian nombor plat amat kritikal. 

Kegagalan pengesanan boleh menjejaskan kecekapan sistem dan ketepatan bayaran.

Walaupun sistem memerlukan pengguna mendaftar secara digital, risiko penggunaan lebuh raya oleh kenderaan yang tidak berdaftar tetap wujud. 

Ketiadaan palang fizikal menjadikan mekanisme pengesanan dan penguatkuasaan automatik semakin penting. Justeru, sistem kutipan tol perlu diintegrasikan dengan pangkalan data kenderaan nasional bagi membolehkan tuntutan dan penalti dikeluarkan secara tepat terhadap kenderaan yang gagal membuat bayaran.

Oleh kerana MLFF beroperasi sepenuhnya secara digital tanpa palang fizikal atau sentuhan manusia, tahap literasi digital dalam kalangan pengguna menjadi keperluan asas. Pengguna perlu memahami cara mendaftar kenderaan dalam sistem, memautkan kaedah pembayaran dan memantau transaksi secara dalam talian. 

Masalah seperti baki dompet elektronik tidak mencukupi, kesukaran menggunakan aplikasi atau isu teknikal masih kerap berlaku dalam sistem tol elektronik sedia ada. 

Tanpa komunikasi pengguna yang menyeluruh dan sistem sokongan yang responsif, manfaat sistem ini mungkin hanya dapat dinikmati oleh sebahagian pengguna sahaja.

Sistem digital juga terdedah kepada risiko gangguan teknikal dan serangan siber. Gangguan rangkaian, kerosakan peralatan atau kelemahan keselamatan boleh menjejaskan proses kutipan. Oleh itu, pelan kontingensi serta sistem pemantauan waktu nyata perlu diwujudkan bagi memastikan sistem kekal boleh dipercayai dan berdaya tahan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi jaminan pelaksanaan MLFF tidak akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan. Model pelaksanaan dilaksanakan secara perniagaan ke perniagaan (B2B), yang membolehkan syarikat penyedia perkhidmatan berunding dan menjalinkan kerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada bagi merealisasikan perlaksanaan system MLFF. 

Pendekatan ini memberi fleksibiliti kepada industri dan mungkin dapat mengelakkan kenaikan kadar tol kepada pengguna.

MLFF turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sistem pengangkutan pintar negara.

Melalui data trafik masa nyata yang dijana, sistem ini dapat menyokong perancangan bandar, penyelenggaraan lebuh raya berdasarkan penggunaan sebenar, pengurusan kesesakan secara adaptif serta koordinasi tindak balas dalam situasi kecemasan atau bencana.

Oleh itu, jelas  transformasi tol tanpa palang bukan hanya perubahan pada struktur fizikal plaza tol sebaliknya merupakan anjakan sistemik dalam cara negara mengurus mobiliti dan aliran trafik. 

MLFF juga bukan sekadar pilihan teknologi tetapi keperluan strategik demi sistem lebuh raya yang  lebih cekap, selamat dan mampan untuk generasi akan datang.

DR. Nordiana Mashros ialah Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dr. Norhidayah  Abdul Hassan ialah Profesor Madya, Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×