LONDON: Newcastle dilaporkan berusaha dengan semua cara untuk memastikan penyerangnya, Alexander Isak kekal beraksi bersama skuad kendalian Eddie Howe.
Terbaharu, pemilik bersama Newcastle, Jamie Reuben dan pengarah kelab, Jacobo Solis telah berkunjung ke rumah Isak sebelum aksi berdepan Liverpool, semalam.
Tujuan utama kunjungan itu adalah bagi memujuk Isak selepas penyerang Sweden itu berkeras mahu meninggalkan The Magpies dan menyertai Liverpool.
Newcastle mahu penyerang Sweden itu kembali menjalani latihan dan beraksi bersama pasukan selepas dia mengambil tindakan ‘mogok’ sebagai tekanan untuk berpindah.
Difahamkan, tawaran kontrak baharu juga menjadi sebahagian daripada perbincangan sekiranya Isak bersetuju untuk kekal musim ini di St James’ Park.
Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu masih menyatakan hasrat jelas mahu berpindah, tetapi Newcastle belum dapat memenuhi syarat penjualan, iaitu membawa masuk dua penyerang baharu selain menerima tawaran rekod Britain daripada Liverpool.
Sehingga kini, mereka belum menandatangani penyerang baharu dan menolak tawaran Liverpool bernilai 110 juta pound (RM623.9 juta). – AGENSI/UTUSAN










