PETALING JAYA: Sebanyak 11 negara mengesahkan penyertaan ke Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dianggap medan terbaik buat atlet negara mengerah kudrat mencari tempat ke Sukan SEA 2025.
Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim berkata, jumlah keseluruhan atlet yang bertanding pada kejohanan itu yang akan diadakan di Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis pada 29 hingga 31 Ogos ini adalah seramai 700 orang dari dalam dan luar negara.
“11 negara akan mengambil bahagian iaitu Algeria, China, Nepal, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Thailand, Arab Saudi, Filipina dan Korea Selatan.
“Negara-negara itu dilihat mampu memberi persaingan kepada atlet tempatan termasuk dari universiti, Majlis Sukan Negeri dan persatuan olahraga negeri-negeri.
“Ini adalah satu platform untuk menguji atlet tempatan memberi saingan kepada atlet luar negara dan cuba untuk melayakkan diri ke Sukan SEA akan datang (Thailand),” katanya.
Pemenang pingat emas acara tukul besi Sukan Arab 2023, Zahra Tatar antara atlet yang mengambil bahagian di kejohanan tersebut malah dia turut mewakili Algeria ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Karim turut berkata, beliau berharap dapat menyaksikan lebih banyak rekod kebangsaan diperbaharui pada Terbuka Malaysia kali ini.
Terbuka Malaysia menjadi medan terakhir atlet negara untuk melakukan catatan terbaik mereka bagi melayakkan diri ke Sukan SEA 2025 sebelum Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengeluarkan senarai rasmi. – UTUSAN










