KUALA LUMPUR: Skuad wanita bawah 20 (B-20) negara sudah bersedia sepenuhnya dan mahu bermula dengan langkah kanan dalam aksi pembukaan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026.
Skuad kendalian Cameron Ng akan berdepan Iran di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini dan pastinya aksi pembukaan ini menjadi tumpuan bagi memastikan skuad negara mendapat tonik tambahan untuk aksi seterusnya.
Menurut Cameron, status sebagai tuan rumah pada aksi kelayakan tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua pemain, sekali gus beraksi tanpa sebarang tekanan.
Katanya, persiapan rapi yang dilakukan sejak penghujung bulan lalu cukup baik dan sekarang anak-anak buahnya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran sebenar menentang jaguh bola sepak rantau Asia.
“Sudah tentu kita ada kelebihan beraksi sebagai tuan rumah, tetapi kita juga mahu penyokong hadir ke stadium untuk sokong pasukan agar pemain dapat berikan yang terbaik sepanjang aksi kelayakan kali ini.
“Persiapan yang dilakukan juga cukup bagus dan mereka sudah faham dengan taktikal yang cuba kita terapkan.
“Semua 23 pemain yang dikekalkan adalah yang terbaik dan saya harap keputusan dapat memihak kepada pasukan,” katanya pada sidang media pra perlawanan semalam.
Sementara itu, kapten skuad remaja Malayan Tigres, Nur Dhiyaa Addin Mohd Azhari mengakui rakan-rakan sepasukan sudah melakukan kerja rumah untuk mengenal pasti kekuatan Iran.
“Selepas berada dalam kem lebih dua minggu, kami semakin serasi. Mengenai peluang (untuk layak), kita perlu realistik tetapi barisan kejurulatihan sudah tahu kelemahan dan kekuatan pasukan lawan,” katanya.
Selepas aksi bertemu Iran, skuad negara akan menentang Jepun pada Jumaat dan aksi terakhir Kumpulan F menentang Guam pada Ahad ini.
Format kejohanan menyaksikan lapan juara kumpulan dan tiga naib juara kumpulan terbaik akan melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-20 2026 di Thailand pada 1 hingga 18 April 2026. – UTUSAN










