MANCHESTER: Penyerang baharu Manchester United, Benjamin Sesko menjadi taruhan utama untuk menggegar gawang Arsenal apabila kedua-dua gergasi Inggeris itu membuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, malam ini.
Pemain Slovenia itu yang baru sahaja menyertai United dari RB Leipzig hujung minggu lalu dengan yuran perpindahan mencecah 76.5 juta euro (RM392 juta) serta bonus tambahan 8.5 juta euro (RM44 juta), dilihat sebagai senjata utama Red Devils di bawah kendalian Ruben Amorim.
Bagaimanapun, Amorim masih berteka-teki sama ada penyerang berusia 21 tahun itu akan diturunkan dalam kesebelasan utama atau dimulakan di bangku simpanan bagi aksi sulungnya bersama kelab baharu.
“Kami tidak mempunyai banyak masa tetapi dia sudah bersedia, secara fizikal dia memang bersedia, dan itu adalah komponen penting dalam liga kami.
“Dia juga bijak, dia sudah bersedia untuk bermain, tetapi kita akan lihat sama ada dia akan memulakan permainan atau tidak,” kata Amorim.
United yang dibimbing Amorim kini berada dalam misi kebangkitan selepas menutup musim lalu di kedudukan ke-15, satu prestasi terburuk dalam sejarah moden kelab berkenaan.
Sebagai tanda kesungguhan, pihak pengurusan membelanjakan hampir 200 juta pound (RM1.13 bilion) pada jendela perpindahan musim panas ini untuk mengukuhkan setiap posisi utama termasuk barisan serangan.
“Kita tidak boleh mengubah segalanya dalam masa empat minggu, tetapi kami sudah menjadi lebih baik. Kami berlatih lebih keras dan lebih bersedia untuk menghadapi tuntutan perlawanan.
“Kami mahu kembali ke Eropah. Kami perlu realistik dengan penyokong. Kami perlu berjuang bersungguh-sungguh kerana ada pasukan lain yang sudah lama bersama berbanding kami.
“Fokus kami adalah perlawanan demi perlawanan. Kami mahu menang menentang Arsenal,” katanya.
Perlawanan menentang Arsenal dijangka menjadi medan ujian sebenar buat Amorim dan skuadnya, khususnya Sesko yang digembar-gemburkan mampu membawa aura baharu ke Old Trafford.
Sementara itu, Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mahu memastikan permulaan EPL dibuka dengan keputusan positif.
“Kita mahu kemenangan bagi memastikan kempen kali ini bermula dengan keputusan positif. Misi kita tahun ini menjadi juara EPL dan setiap perlawanan tidak boleh hilang mata,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










