PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi menyeru anak buahnya bangkit mencipta kemenangan apabila berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Skuad Gergasi Merah dikejutkan dengan tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) di Paroi pada Ahad lalu, digesa melupakan aksi itu bagi memberi fokus bertemu skuad Penyu.
Jelas Kinoshi, jadual Liga Malaysia (Liga M) yang padat termasuk mengharungi saingan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) bukanlah alasan untuk menutup kelemahan pasukan ketika tewas kepada NSFC.
“Kita kena bersatu dan bekerja keras. Itu sahaja cara untuk menjadi Selangor FC sebenar.
“Kita hilang tiga mata. Mulai sekarang kita perlu fokus untuk aksi berikutnya, dan biarpun (perlu lalui) dua aksi dalam empat hari dan tiga perlawanan lapan hari termasuk baru balik dari Buriram, tetapi ia bukan alasan.
“Seperti saya katakan, jika kita nak jadi pasukan yang baik kita kena lalui banyak perlawanan. Jadi ini bukan alasan.
“Kita perlu fokus untuk perlawanan dengan Terengganu dan berikan segalanya menerusi aksi berbeza untuk ditunjukkan kepada penyokong Selangor. Itulah yang saya beritahu kepada pemain,” katanya.
Kekalahan di tangan NSFC itu adalah yang kedua buat naib juara Liga Super musim lalu itu, selepas tumbang 3-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan merebut Piala Sumbangsih, awal bulan ini.
Berikutan dua kekalahan dan satu kemenangan, meletakkan Selangor menghuni tangga ketujuh liga manakala Terengganu FC di posisi kedua selepas masing-masing mengharungi tiga aksi setakat ini. – UTUSAN











