Sarjit cari ramuan terbaik sebelum Piala Asia

Sarjit cari ramuan terbaik sebelum Piala Asia

Sarjit Singh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas melakukan latihan kecergasan bersama Institut Sukan Negara (ISN), skuad hoki kebangsaan akan memulakan latihan taktikal pasukan sebagai persiapan menghadapi Piala Asia di India dari 27 Ogos hingga 7 September ini.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Sarjit Singh berkata, sepanjang Julai lalu, pemainnya melakukan latihan hipoksia di ISN bagi meningkatkan sistem kardiovaskular agar mereka boleh beraksi di bawah tekanan.

“Kita akan berlatih di padang pada 11 Ogos ini selepas pemain berlatih di ISN selama lima minggu. Mereka ada melakukan latihan hipoksia dengan pengurangan oksigen berbanding keadaan normal,” kata Sarjit.

Pemain hoki kebangsaan melakukan latihan hipoksia menggunakan basikal dan mereka dibekalkan oksigen 15 peratus berbanding 21 peratus pada keadaan normal yang bertujuan memberi tekanan kepada tubuh badan untuk meningkatkan tahap kecergasan.

Sarjit berkata, tumpuan latihan akan diberikan kepada taktikal pasukannya dan bukan lagi kepada aspek kecergasan berikutan setiap bahagian dalam skuad perlu diperbaiki.

“Kecergasan pemain kita dah tak fokus sangat sebab kita lebih kepada taktikal pasukan. Pukulan sudut penalti, pertahanan dan penjaga gol, semua bahagian perlu diberi tumpuan.

“Kena perbaiki di bahagian penjaga gol dan pertahanan sebab walaupun pasukan menjaringkan banyak gol (ketika Piala Negara-Negara), kita juga dibolosi banyak gol. Jadi, kita kena pastikan pertahanan berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

Dalam kempen Piala Negara-Negara di Bukit Jalil pada Jun lalu Speedy Tigers menjaringkan menjaringkan 13 gol namun dibolosi 11 jaringan sekali gus menamatkan saingan di kedudukan keenam daripada lapan pasukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN