Saingan kritikal, Hakim Danish tidak boleh gopoh

Saingan kritikal, Hakim Danish tidak boleh gopoh

Hakim Danish berharap dapat beraksi di Moto3 tahun depan. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hakim Danish Ramli tidak boleh melakukan kesilapan menjelang pusingan keenam Piala RedBull MotoGP Rookies 2025 di Litar Spielberg, Austria, hujung minggu ini, jika enggan takhtanya dirampas pesaing terdekat, Brian Uriarte.

Dengan hanya jurang perbezaan 13 mata, pelumba muda kini di kedudukan teratas dengan 154 mata manakala Uriarte dari Sepanyol mengutip 141 mata.

Hakim Danish bukan sahaja berdepan tentangan Uriarte tetapi juga saingan sengit pelumba Indonesia, Veda Pratama yang mempamerkan prestasi konsisten sejak kebelakangan ini dan kini menghuni tangga ketiga dengan 130 mata.

Kedudukan Hakim Danish ketika ini cukup kritikal kerana slot automatik ke Kejuaraan Motosikal Dunia pada tahun depan, menjadi pertaruhan dengan aksi musim ini hanya berbaki dua pusingan (empat perlumbaan) di Austria dan di Misano, Itali pada 13-14 September ini.

Hakim Danish yang menyedari tekanan tinggi terpaksa dihadapinya memilih untuk bersikap tenang dan mengingatkan dirinya agar tidak gopoh dalam perlumbaan nanti.

“Hujung minggu ini merupakan minggu perlumbaan dan saya sangat bersemangat untuk turun ke litar.

“Harapan saya adalah untuk meraih podium dan kekal tenang tanpa terlalu gopoh sepanjang perlumbaan, saya mohon doa daripada semua agar kejayaan berpihak kepada saya minggu ini,” katanya kepada media di tanah air, semalam.

Pelumba berusia 18 tahun itu menjadi harapan Malaysia untuk ‘mencuri’ salah satu daripada tiga slot automatik yang ditawarkan ke perlumbaan kelas Moto3, musim depan.

Disebabkan faktor tersebut, Hakim Danish kini menjadi tumpuan peminat sukan pemotoran yang mahu menyaksikan kembali kelibat pelumba Malaysia dalam Kejuaraan Motosikal Dunia selepas Syarifuddin Azman atau Damok tampil buat kali terakhir pada 2023.

Memegang status selaku anak Malaysia pertama menjuarai Piala RedBull MotoGP Rookies bakal menjadikan penampilan Hakim Danish dalam kelas Moto3, musim depan, berbeza dengan wakil-wakil negara terdahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×