PETALING JAYA: Barisan kepemimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka berubah selepas wujud dakwaan akan mengalami rombakan mengejut dalam tempoh terdekat.
Menurut sumber, berita tentang dakwaan perubahan pengurusan FAM itu diketahui oleh barisan kepemimpinan menerusi media sosial dan tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Perkara ini timbul hari ini (semalam), sebab itu ada yang mengelak untuk berjumpa media. Perkara ini masih tidak dapat dipastikan kebenarannya. Jadi kena tunggu,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.
Semalam wujud khabar angin di media sosial bahawa akan berlaku rombakan dalam kepemimpinan badan induk bola sepak negara.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan daripada FAM berhubung perkara berkenaan biarpun diajukan soalan berhubung perkara tersebut.
FAM diterajui Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub yang menyandang jawatan Presiden, Februari lalu dalam kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029 yang turut menyaksikan perubahan penyandang beberapa jawatan utama di dalamnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusof Mahadi ketika ditemui pemberita selepas majlis penajaan antara 100Plus dan FAM di ibu pejabat badan induk itu semalam, enggan mengulas lanjut.
“Lain kali saja… tunggu minggu depan,” kata Yusof ringkas ketika cuba ditanya mengenai dakwaan yang tersebar di media sosial itu. – UTUSAN










