KUALA LUMPUR: Rexy Mainaky memberi bayangan Malaysia akan menurunkan pasukan terkuat bagi memburu pingat emas acara badminton di Sukan SEA di Thailand, Disember ini.
Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan itu menegaskan, pemilihan barisan pemain ke Sukan SEA 2025 masih belum dimuktamadkan.
Beliau menafikan laporan kononnya jadual Sukan SEA bertembung dengan Siri Jelajah Akhir Badminton Dunia, sambil menjelaskan Thailand sanggup mengubah tarikh kejohanan domestik mereka demi memastikan skuad terbaik dapat beraksi di pentas dwitahunan itu.
“Tiada pertembungan. Sebab itu Thailand boleh hantar pasukan terkuat, malah Indonesia juga pasti turun dengan skuad penuh.
“Kita juga perlu pastikan mampu mencabar mereka untuk emas,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA 2025.
Menurut Rexy, beberapa pemain utama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi masih berada dalam senarai, namun keputusan akhir bergantung kepada perbincangan bersama barisan jurulatih.
“Man (Wei Chong) dan (Tee) Kai Wun, (Yap) Roy King-Arif Junaidi, Haikal (Nazri) -Choong Hon Jian semua ini pada tahap yang boleh bersaing dengan pemain Thailand, malah kita juga tidak kekurangan pilihan di beregu campuran dan wanita,” ujarnya.
“Kita minta beberapa hari lagi untuk tentukan senarai akhir, dan ia akan dimuktamadkan sebelum semua pemain berangkat ke Kejohanan Dunia
“Pandangan pemain seperti Aaron yang mahu beri peluang kepada muka baharu kita hargai, tapi keputusan akhir dibuat selepas menilai kekuatan keseluruhan pasukan,” jelasnya.
Pada edisi lalu di Kemboja, Malaysia gagal meraih sebarang emas dalam acara badminton dengan hanya meraih 2 perak (dalam acara beregu campuran dan acara berpasukan lelaki) serta 4 gangsa (dalam perseorangan lelaki dan beregu wanita). – UTUSAN










