Pearly–Thinaah elak 'makan angin' di Paris

Pearly–Thinaah elak ‘makan angin’ di Paris

Pearly Tan-M Thinaah memburu kejuaraan pada Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Paris, Perancis hujung bulan ini. - MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah tekad mahu menamatkan kemarau pingat Malaysia dalam acara beregu wanita Kejohanan Badminton Dunia yang bakal berlangsung di Paris, Perancis hujung bulan ini.

Pearly-Thinaah sedar cabaran getir menanti mereka, terutama berdepan dominasi beregu China seperti Liu Sheng Shu-Tan Ning serta Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang sering menekan mereka dengan corak agresif.

“Kemenangan memang sasaran kami, tapi untuk capai itu, kami kena lebih konsisten dan saling menyokong satu sama lain.

“Kami masih ada beberapa minggu untuk perbaiki aspek yang lemah, dan cuba atasi tekanan ketika bertemu pasangan yang sering beri tekanan dari awal hingga akhir,” kata Thinaah ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Dalam dua pertemuan terakhir, kedua-dua pasangan negara itu tewas kepada Sheng Shu-Ning di final Terbuka Indonesia dan Jepun, namun tetap menunjukkan peningkatan dalam taktikal dan penyelesaian ketika mata genting.

Thinaah mengakui aspek komunikasi dan sokongan emosi dalam gelanggang menjadi faktor utama kepada kebangkitan mereka sejak siri kejohanan Asia bermula Mei lalu.

Gandingan negara itu menunjukkan tanda kematangan apabila berjaya menyesuaikan strategi mengikut lawan, selain lebih tenang dalam mengendalikan perlawanan tiga set.

Walaupun tidak mahu terbeban dengan tekanan menjadi wakil utama negara, Thinaah tahu ini mungkin peluang terbaik mereka untuk meletakkan nama dalam sejarah badminton dunia.

“Kami asyik bantu dan ingatkan satu sama lain, walaupun dalam keadaan ketinggalan atau ketika lawan mula ‘push’, kami cari penyelesaian bersama,” jelasnya.

Untuk rekod, belum ada beregu wanita negara mara ke separuh akhir dalam kejohanan berprestij itu dan pencapaian terbaik Pearly-Thinaah ialah lolos ke suku akhir pada edisi 2023 di Copenhagen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN