Malaysia belum ada pengganti Ramachandran

Malaysia belum ada pengganti Ramachandran

Pekan Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketandusan bakat muda membuatkan Malaysia sehingga kini masih buntu membawa pulang pingat emas dalam acara larian 5,000 dan 10,000 meter (m) di Sukan SEA.

Pelari jarak jauh kebangsaan, M. Ramachandran menjadi atlet lelaki terakhir yang memenangi emas bagi kedua-dua acara itu pada Sukan SEA 1999 dan selepas itu Malaysia hanya sekadar melengkapkan penyertaan.

Ramachandran merupakan permata pelari lari jauh yang Malaysia pernah ada apabila dia berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA dalam kedua-dua acara itu selama empat edisi berturut-turut bermula 1993.

Mengulas lanjut, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli mengakui kekurangan bakat muda telah menyebabkan legasi Ramachandran tidak dapat diteruskan.

“Kita dahulunya antara kuasa besar dalam acara larian jarak pertengahan dan jauh. Namun, kalau kita lihat pada penyertaan Sukan SEA pada edisi lalu, wakil kita berada di bawah.

“Usaha untuk membangunkan atlet dalam acara ini perlu ada dan ia mesti dikesan dari awal. Tak semua orang boleh lari dua acara ini sebab selain memerlukan daya ketahanan, pelari juga mesti kena ada kelajuan.

“Memang kita ketandusan sebab kita kurangnya usaha dan kesungguhan untuk mencari bakat, tambahan pula acara ini kurang popular sedangkan ia sentiasa dipertandingkan di Sukan SEA dan kejohanan tinggi. Satu kerugian untuk kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pekan berkata, sekiranya atlet muda negara, Kristian Tung dilihat menjadi calon sesuai untuk menggalas cabaran itu maka Olahraga Malaysia (MA) perlu lakukan sesuatu.

“Kalau betul nak bangunkan dan isi kekosongan, saya fikir atlet itu boleh dibangunkan lagi kerana mungkin dia memiliki kualiti yang sama dengan Ramachandran,” katanya.

Sebagai rekod, Kristian meleburkan rekod 3,000m negara berusia 40 tahun selepas melakukan catatan 8 minit 15.81 saat (s) pada Kejohanan Olahraga BMC MarketAxess, Tooting Bec, London, 20 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×