PETALING JAYA: Kekeliruan mengenai asal-usul, Facundo Garces terjawab apabila beliau mengesahkan dirinya sememangnya layak beraksi dengan skuad Harimau Malaya.
Pemain pertahanan Deportivo Alaves itu mengakui, beliau memiliki latar belakang keluarga dari Malaysia melalui datuk, sekali gus melayakkannya menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Ia hanya ralat transkrip, bukan seperti yang disangka. Saya orang Malaysia daripada akar datuk atau nenek saya,” tulisnya di Instagram Story bagi menjernihkan keadaan.
Sebelum itu, Garces menjadi bualan hangat netizen tempatan dan Indonesia selepas portal Sepanyol, El Correo, melaporkan beliau mempunyai kaitan Malaysia menerusi moyangnya.
Lebih manis, pemain itu mengakui amat berbangga untuk mewakili Malaysia sambil berharap dapat berjumpa lagi dengan penyokong Harimau Malaya dalam aksi yang seterusnya.
“Jumpa anda semua tidak lama lagi,” kata pemain berusia 26 tahun itu
Sebagai rekod, Garces melakar debut sempurna bersama skuad kebangsaan pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun lalu.
Pemain kelahiran Argentina itu mengemudi benteng pertahanan skuad bimbingan Peter Cklamovksi dan menamatkan perlawanan tanpa dibolosi sebarang gol dengan keputusan 4-0.
Dalam pada itu, Garces berbangga dapat menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan dan merasai sendiri sokongan padu penyokong.
“Mereka menyambut saya dengan mesra, semua orang sangat baik dan membantu, saya rasa terhormat dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” katanya. – UTUSAN









