PETALING JAYA: Kejohanan Akuatik Asia di India pada Oktober ini akan menjadi ujian terakhir skuad renang negara sebelum menghadapi Sukan SEA di Bangkok hujung tahun ini.
Ketua jurulatih renang kebangsaan, Eric Anderson berkata, selepas kejohanan tersebut, pasukan akan terus memfokuskan latihan intensif menjelang temasya dwitahunan itu.
“Kami akan mengadakan latihan pusat di Thanayapura, Thailand pada September yang mempunyai kemudahan terbaik di rantau dan mereka ada pasukan profesional serta disokong oleh Akuatik Dunia. Kemudian kami akan terbang terus ke India.
“Kejohanan di sana adalah pertandingan terakhir di bawah tekanan pertandingan sebenar sebelum Sukan SEA,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA), kelmarin.
Menurut Anderson, prestasi perenang negara ketika siri pertandingan di Berlin dan Kejohanan Dunia Akuatik di Singapura baru-baru ini cukup membanggakan, meskipun jadual padat selama lebih tiga minggu memberi cabaran dari segi fizikal dan mental.
“Beberapa acara di Singapura lebih pantas daripada di Berlin, malah Phee Jinq En antara atlet yang mempamerkan prestasi terbaik sejak 2019 walaupun berdepan masalah kesihatan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Anderson turut memberi pujian terhadap peningkatan beberapa perenang utama seperti Khiew Hoe Yean, Phee Jinq En, dan Arvin Shaun Singh Chahal, yang dianggap berada di landasan tepat tahun ini.
Anderson berkata, skuad negara kini berada di landasan tepat dengan sasaran untuk membawa pulang sebanyak mungkin pingat emas di Bangkok.
“Saya melihat ini sebagai era positif untuk sukan akuatik Malaysia. Kami telah memecahkan banyak rekod dan berjaya melonjak dalam ranking dunia.
“Saya percaya hanya menunggu masa sebelum kejayaan itu dapat dilihat dengan lebih jelas, dan saya berharap ia akan terbukti di Sukan SEA nanti,” katanya. – UTUSAN










