Kasut pun ada cerita tersendiri dalam kehidupan

Kasut pun ada cerita tersendiri dalam kehidupan

SETIAP pasang dan rekaan kasut menyimpan cerita tentang budaya, identiti dan nilai yang diwarisi sejak dahulu kala.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA masa sekarang, kasut dan selipar bukan sekadar alas kaki untuk melindungi tapak kaki. Sebaliknya, ia menjadi semacam pakaian yang menggambarkan personaliti, status sosial dan keyakinan diri si pemakai.

Agak menarik juga untuk meneliti beberapa perkara kecil berbentuk trivia mengenai kasut dan selipar. Misalnya, pada zaman dahulu, kasut tumit tinggi dipakai oleh orang lelaki. Selain menampakkan status lebih tinggi, kasut bertumit tinggi juga memudahkan mereka menunggang kuda.

Nama lain yang digunakan bagi kasut ialah sepatu. Perkataan ini lebih lazim digunakan sekarang di Indonesia. Ia berasal daripada istilah capato atau sapato dalam bahasa Portugis.

Dalam kalangan penutur bahasa Tamil di Malaysia juga perkataan sapatu dan sapati (bukan capati) sudah biasa digunakan. Istilah Tamil yang diajar secara formal di sekolah ialah kaal ani.

Penggunaan perkataan sandal dan flip-flop pula biasa dilihat lebih moden berbanding selipar. Apabila bercakap tentang selipar, tentulah semua orang Malaysia tahu tentang selipar Jepun.

 

SELIPAR JEPUN

Selipar Jepun dikatakan berasal daripada selipar tradisional yang dipakai oleh wanita Jepun. Kemudian, selipar tradisional itu mula dihasilkan menggunakan getah yang dibawa dari Malaya (Tanah Melayu). Bagaimanapun, kisah ini tidak dapat disahkan dan asal usul nama selipar Jepun masih sebuah misteri.

Semasa kecil dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, saya biasa bermain pelbagai permainan tradisional bersama anak-anak tetangga. Selain menyusun tin dan membaling bola tenis, kami juga biasa menyusun selipar seperti piramid dan menggunakan selipar untuk membaling bagi meruntuhkannya.

Dalam bahasa Tamil, selipar disebut serupu atau cerepu. Tentu sahaja kita segera teringat perkataan yang dimasukkan dalam kosa kata orang Melayu sebagai cerpu.

Begitu juga perkataan sandal dan capal yang mungkin kita anggap dipinjam daripada bahasa Inggeris. Sebenarnya, ia berasal daripada cappal dalam bahasa Hindi. Manakala dalam bahasa Telugu pula disebut ceppulu.

Dalam budaya masyarakat, kasut dan selipar menjadi simbol kedudukan paling rendah dan hina. Hal ini menjelaskan mengapa apabila seseorang dipukul dengan kasut atau selipar, maka dianggap suatu penghinaan amat besar.

Pada masa sama, selalu juga saya melihat perkongsian orang ramai di media sosial yang mengimbau kenangan di mana selipar, khasnya selipar Jepun menjadi senjata para ibu. Malah, ramai yang berseloroh bagaimana sasaran selipar yang dibaling para ibu lebih tepat daripada peluru berpandu.

Rata-rata masyarakat pelbagai kaum menanggalkan kasut dan selipar apabila melangkah masuk ke dalam rumah. Individu yang tidak berbuat demikian dianggap biadab dan menghina kesucian rumah kediaman. Hanya dalam drama dan filem kita selalu melihat pelakon selesa dan santai berkasut di dalam rumah.

Sensitiviti terhadap pemakaian kasut atau selipar lebih nyata di rumah ibadat seperti masjid, kuil, gereja, tokong, wat dan gurdwara. Biasanya ada notis mengingatkan orang ramai supaya menanggalkan kasut dan selipar sebelum masuk.

Bagaimanapun, peserta Konvoi Rumah Ibadat anjuran Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) mulai 2010 dapat merasai sendiri bagaimana kebanyakan gereja membenarkan penganut dan pelawat memakai kasut.

Walaupun alas kaki seperti kasut dan selipar dianggap kotor dan hina, ada masanya ia sengaja diberi kedudukan tinggi. Contoh terbaik ialah dalam epik Ramayana.

Apabila watak Rama bersedia untuk memenuhi syarat dibuang negeri, adik tirinya, Bharata yang diangkat menjadi pemerintah Ayodhya merayu supaya Rama menjadi raja.

Maka, Rama menyerahkan sepasang capal tradisional kepada Bharata. Capal itu dijunjung di atas kepala Bharata lalu diletak pada singgahsana sebagai simbol Bharata hanya menjadi proksi bagi pemerintahan Rama sepanjang tempoh dibuang negeri.

Epik Ramayana ditulis dalam bahasa Sanskrit. Ada beberapa istilah digunakan apabila merujuk kasut atau capal. Antaranya ialah upanat, nalah, paposh, paduh, padatra dan padaraksa.

Namun begitu, istilah yang menyerap masuk ke dalam budaya Melayu, mengalami perluasan makna dan masih kekal digunakan sehingga kini ialah paduka. Asal usul ini tidak dijelaskan dalam Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan (2024).

Manakala dalam Kamus Dewan pula direkodkan makna asal kasut, sepatu, alas kaki serta makna baharu yang diubah suai menjadi gelaran untuk orang yang dimuliakan.

 

TEROMPAH KAYU

Bercakap tentang selipar dan kasut mengingatkan saya kepada terompah kayu yang sangat popular pada masa dahulu. Di Taiping dahulu, saya biasa melihat wanita kaum Cina memakai terompah di pasar dan rumah. Bunyi “klak, kluk” masih terngiang-ngiang di telinga.

Terompah juga sinonim dengan Nyonya iaitu wanita Peranakan Cina serta wanita dalam komuniti Chetti Melaka. Kalau kita ke Melaka, pasti akan jumpa kedai yang menjual pelbagai rekaan terompah yang mengundang nostalgia dan sesuai dijadikan barang perhiasan.

Pakaian tradisional wanita Nyonya dan Chetti Melaka juga tidak lengkap tanpa sepasang kasut manik. Walaupun semakin ramai anak-anak muda dalam komuniti berkenaan lebih selesa memakai kasut moden, tradisi kasut manik yang ada muatan sejarah dan budaya wajar dipelihara.

Bercakap tentang wanita Peranakan Cina mengingatkan pula kepada amalan mengikat kaki di negara China pada zaman dahulu. Wanita yang berkaki kecil dijadikan ukuran kecantikan. Maka, sejak kecil, kanak-kanak perempuan akan dibalut dan diikat kakinya supaya kekal kecil dan digelar lotus feet (kaki teratai).

Akhbar The Guardian (15 Jun 2015) menyiarkan foto kaki milik 50 orang wanita terakhir yang menadi mangsa budaya mengikat kaki itu. Rata-rata wanita terbabit menanggung penderitaan akibat kaki mereka diikat sejak kecil.

Sepatutnya kasut menjadi alas kaki yang memberi keselesaan kepada pemakai. Perkara ini juga wajar menyedarkan kita supaya bersikap praktikal apabila memilih kasut untuk dipakai.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×