PETALING JAYA: Pelari muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dilihat menjadi potensi paling bernilai buat skuad olahraga negara bagi memburu pingat emas dalam acara 100 meter (m) di Sukan SEA 2025 Thailand.
Pandangan tersebut disuarakan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad apabila optimis Danish mampu mencipta kejutan pada acara riben biru itu sekiranya sandaran utama negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak mengambil bahagian dalam temasya itu.
Nazmizan berkata, Danish menjadi pilihan selepas Azeem berdasarkan pencapaian semasanya walaupun ketika ini pelari Thailand, Puripol Boonson disebut-sebut sebagai calon utama pemenang pingat emas bagi acara 100m.
“Buat masa sekarang Danish (jika Azeem tidak mengambil bahagian). Dia pun sebelum ini pernah kalahkan Jonatan Nyepa di Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur.
“Apa yang saya nampak daripada segi prestasi yang menonjol adalah Danish dan kita mengharapkan dia tidak mengalami apa-apa kecederaan agar prestasinya dapat diteruskan sehingga Sukan SEA 2025,” katanya.
Danish melakukan catatan terbaiknya musim ini 10.32 saat (s) ketika memenangi emas di Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Jun lalu.
Catatan itu masih jauh untuk mengatasi musim terbaik Puripol yang melakukan 10.15s sewaktu beraksi di Kejohanan Olahraga Jemputan & Grand Prix siri ketiga Chongqing di China pada Mei lalu.
Perbezaan 0.17s menyaksikan jurang perbezaan yang ketara perlu diatasi oleh Danish dan mengulas lanjut, Nazmizan berkata, pemenang hanya boleh diketahui pada hari pertandingan bukannya berdasarkan prestasi semasa atlet.
“Catatan masa musim terbaik tidak boleh dijadikan ukuran utama kerana pada hari pertandingan apa-apa kebarangkalian boleh berlaku namun betul, atas kertas memang Puripol menjadi pilihan. Kena ingat, edisi 2019 kita menang emas 100m menerusi (Muhammad) Haiqal Hanafi,” katanya. – UTUSAN










