Bukan lagi ketirisan, subsidi kini untuk yang memerlukan

Bukan lagi ketirisan, subsidi kini untuk yang memerlukan

53,900 pemandu e-hailing layak dapat BUDI95 600 liter sebulan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 “KAMI yang menggunakan motosikal setiap hari memang terasa bila harga minyak naik walaupun 10 sen. Kalau subsidi ini disasar, sekurang-kurangnya bantuan sampai kepada kami yang memang guna petrol untuk cari rezeki.”

Itu luahan seorang penunggang motosikal penghantar makanan, Mohd. Syafiq Rahman, 24, yang dipetik daripada laporan berita berhubung langkah penyasaran subsidi kerajaan bagi petrol RON95 kerana ia menjamin keadilan.

Seorang pemandu e-hailing, Noraini Abdullah, 38, pula berkata, langkah kerajaan mengawal penyalahgunaan subsidi mampu memberi lebih banyak ruang untuk bantuan lain.

“Saya setuju kalau orang kaya tak lagi guna RON95 bersubsidi. Mereka mampu isi RON97. Biar subsidi ini disalurkan semula dalam bentuk bantuan tunai yang lebih besar kepada rakyat biasa,” katanya.

Harga sebenar RON95 tanpa subsidi petrol (mengikut harga pasaran) mencecah lebih kurang RM3.22 seliter berbanding RM2.05 seliter yang dibayar pengguna rakyat Malaysia kerana diberikan subsidi oleh kerajaan.

Ini bermakna untuk satu liter, pengguna ditanggung sebanyak RM1.17 per liter. Bagi penunggang motosikal (kapasiti biasa) yang mempunyai tangki petrol 5 liter sebagai contoh, mereka membayar RM10.25 dan mendapat subsidi RM5.85.

Kita lihat pula perbandingan dengan pemilik kereta mewah yang mempunya kapasiti tangki kenderaan 60 liter misalnya, mereka membayar RM123.00 untuk harga petrol itu dan kerajaan perlu menanggung subsidi sehingga  RM70.20!

Untuk rakyat kurang berkemampuan yang menggunakan motosikal, hanya mendapat subsidi RM5.85 daripada kerajaan sedangkan orang kaya mendapat sebanyak RM70.20. Hampir 14 kali ganda bantuan diperoleh. Adakah ini satu bentuk keadilan?

Pemberian subsidi petrol di Malaysia bermula sejak 1974, tetapi pelaksanaannya sudah melalui beberapa kali perubahan, daripada subsidi menyeluruh kepada cadangan subsidi bersasar.

 

SUBSIDI MALAYSIA ANTARA TERTINGGI DI DUNIA

Malaysia merupakan antara negara yang membelanjakan subsidi tertinggi di dunia. Pada 2021, kerajaan menanggung RM23 bilion subsidi, sebelum meningkat drastik kepada RM67.4 bilion pada 2022. Jumlah itu melonjak lagi kepada RM71.9 bilion pada 2023, manakala pada 2024 ia berjumlah RM67.4 bilion.

Bagi tahun ini pula, unjuran perbelanjaan subsidi mencecah RM52.6 bilion. Secara keseluruhan, dalam tempoh empat tahun sahaja, kerajaan menanggung lebih RM260 bilion subsidi pelbagai barangan dan perkhidmatan termasuk petrol, diesel, elektrik, ayam, beras dan minyak masak.

Peruntukan tahunan subsidi  khusus bagi RON95 pula, kerajaan membelanjakan sejumlah RM23 bilion, sebahagian daripada keseluruhan subsidi petroleum sebanyak RM45.2 bilion (RON95, diesel dan LPG).

Pada 2023, jumlah subsidi petrol RON95 dianggarkan mencecah RM20 bilion. Melalui mekanisme penyasaran subsidi, kerajaan menyasarkan penjimatan RM8 bilion setahun dengan mengecualikan warga asing dan golongan T15 (15 peratus penduduk paling kaya) daripada menikmati subsidi RON95.

Pada masa sama, kerajaan menjamin  85 peratus rakyat Malaysia masih akan menikmati subsidi RON95 yang dianggarkan bernilai RM12 bilion setahun.

Memetik pandangan seorang pakar ekonomi, ketirisan subsidi bahan api menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Katanya, subsidi sepatutnya membantu golongan rentan. Jika ia terus dinikmati oleh warga asing dan pemilik kereta mewah, maka objektifnya gagal. Dana itu lebih baik digunakan untuk membaiki sekolah, membuka hospital baharu atau meningkatkan bantuan tunai kepada rakyat.

 

MANFAAT KEPADA RAKYAT

Penyasaran subsidi bukan bermaksud rakyat kehilangan bantuan, malah sebaliknya. Penjimatan hasil penyasaran akan membolehkan kerajaan memperluas skim bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Selain itu, ia juga dapat dimanfaatkan untuk menambah baik kemudahan asas rakyat, antaranya jalan raya, sekolah, klinik kesihatan serta pembinaan hospital baharu. Mahasiswa, belia dan warga emas juga bakal menerima sokongan tambahan hasil daripada penjimatan subsidi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter ketika ini. Namun, penurunan itu hanya akan berkuat kuasa selepas pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diumumkan kerajaan.

Langkah tersebut dijangka memberi manfaat langsung kepada kira-kira 18 juta pengguna kenderaan, termasuk golongan belia seawal usia 16 tahun, pekerja gig, penunggang motosikal dan pemandu kereta di seluruh negara.

 

MENGAPA PERLU DISASAR?

Menurut Perdana Menteri, tujuan utama penyasaran subsidi adalah untuk mengelakkan ketirisan serta memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat Malaysia yang benar-benar layak.

Selama ini, kawasan sempadan negara seperti Johor Bahru-Singapura, Kelantan-Thailand, Perlis-Thailand serta Sarawak-Kalimantan sering menjadi tumpuan warga asing mendapatkan bekalan RON95 kerana harga petrol itu jauh lebih murah berbanding di negara mereka. Keadaan itu bukan sahaja membebankan fiskal negara, malah merugikan rakyat tempatan.

Lebih membimbangkan, segelintir golongan berpendapatan tinggi di negara ini turut mengambil kesempatan menikmati RON95 walaupun mereka berkemampuan menggunakan petrol tanpa subsidi seperti RON97. Penggunaan petrol oleh kenderaan mewah yang berkuasa besar sudah tentu lebih tinggi, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan.

Atas faktor itu, penyasaran subsidi dianggap penting agar bantuan kerajaan lebih tertumpu kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, iaitu B40, M40 serta golongan rentan.

 

BUKAN SEKADAR SOAL HARGA PETROL

Penyasaran subsidi RON95 bukan sekadar soal harga petrol, sebaliknya adalah agenda besar reformasi fiskal negara. Ia menuntut kerjasama semua pihak agar pelaksanaannya berjalan lancar serta benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang layak.

Rakyat juga diseru agar tidak lagi menyokong amalan salah guna subsidi, sama ada oleh warga asing mahupun golongan kaya. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, subsidi adalah hak rakyat Malaysia, bukan milik kenderaan asing atau kelompok yang tidak berhak.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×