Belum ada atlet muda mampu cabar Zaidatul

Belum ada atlet muda mampu cabar Zaidatul

ZAIDATUL Husniah Zulkifli (dua dari kiri) mengekalkan status ratu pecut negara apabila menjuarai acara 100 meter Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Kangar, kelmarin. - MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Belum ada lagi atlet pelapis yang mampu mencabar tempat Zaidatul Husniah Zulkifli dalam acara pecut 100 meter biarpun umurnya sudah mencecah 32 tahun.

Biarpun Malaysia mempunyai atlet pelapis seperti Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling, namun masa yang dicatat mereka masih jauh untuk mencabar masa terbaik Zaidatul Husniah iaitu 11.49 saat (s) yang juga merupakan rekod kebangsaan.

Semalam, Zaidatul Husniah berjaya mengekalkan statusnya sebagai ratu pecut negara apabila menjuarai acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di sini, sekali gus menjadi pilihan utama acara riben biru ke Sukan SEA Thailand, Disember ini.

Dalam acara tersebut, Zaidatul Husniah yang mewakili Kedah mencatat 11.70s mengatasi atlet Sri Lanka, Amasha De Silva yang menamatkan larian di tempat kedua 11.80s.

Sementara Aishah Rofina dari Sabah tempat keempat dengan catatan 11.99s dan Nur Afrina yang mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) ketujuh dengan catatan 12.48s.

Manakala bagi acara 200m, Zaidatul Husniah turut menepati ramalan menduduki tempat pertama dengan cacatan masa 24.57s sekali gus mengatasi cabaran pelari dari Sabah, Siti Norjahera Beliamor (25.54s) dan tempat ketiga diraih atlet Negeri Sembilan, Adriana Shahryll Nizam dengan masa 26.09s.

Zaidatul Husniah berkata, kemenangan tersebut menjadi pemangkin semangat untuk dia mengharumkan nama negara dalam Sukan SEA Thailand nanti.

Katanya, pada masa sama, dia juga telah layak mewakili Malaysia bagi acara 4×100 meter yang berpotensi menghadiahkan pingat buat negara.

Zaidatul turut melakukan persiapan bagi 100m sebagai persediaan dan acara tersebut juga mampu membantu melonjakkan prestasinya dalam acara 4×100 di Sukan SEA nanti.

“Untuk acara 100m di Terbuka Malaysia ini, saya sangat gembira memandangkan sudah lama tidak merekodkan catatan masa di bawah 11.60s. Kali terakhir saya dapat rekodkan masa 11.60s adalah semasa saingan Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, Mei lalu.

“Jadi saya amat gembira dengan pencapaian ini dan terima kasih di atas sokongan semua pihak khususnya daripada barisan kejurulatihan serta ahli keluarga,” katanya.

Dalam Kejohanan Terbuka Perlis Super Series 2024 di Perlis tahun lalu, Zaidatul Husniah mencipta sensasi apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan 31 tahun milik G. Shanti menerusi masa 11.49s. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN