KUALA LUMPUR: Kecederaan ligamen kaki yang dialami pelari pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli bukan halangan meneruskan latihan bagi persiapan ke Sukan SEA Thailand Disember ini.
Pelari berusia 32 tahun itu mengakui masih dalam fasa pemulihan selepas mengalami koyakan ligamen sewaktu bertanding dalam Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, Mei lalu.
“Saya tidak mengetahui mengenai kecederaan ini masa bertanding ketika itu. Bila balik sini, baru tahu ada koyakan pada ligamen kaki.
“Sekarang masih lagi dalam proses pemulihan, tapi saya tetap teruskan latihan perlahan-lahan,” kata Zaidatul ketika ditemui pada Hari Sukan Atlet di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Pelari kelahiran Alor Setar, Kedah itu menamatkan Kejohanan Asia menerusi acara akhir reben biru itu di tempat tercorot dengan catatan 12.01 saat (s).
Dalam masa yang sama, Zaidatul berkata, tempoh persediaan ke Sukan SEA kali ini semakin suntuk dan dengan kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung bulan ini menjadi pentas utama pemilihan ke temasya dwitahunan berkenaan.
Bagaimanapun, pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 11.49s itu sedar tidak ada ruang untuk berhenti walaupun tubuh badan masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya tidak mempunyai pilihan lain, saya kena juga bersedia untuk temasya kali ini.
“Terbuka Malaysia penting untuk melayakan diri ke Sukan SEA dan paling penting saya mahu perbaiki catatan masa dari Korea tempoh hari,” katanya yang sudah menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.
Mengulas kemungkinan temasya kali ini menjadi Sukan SEA terakhir dalam kariernya, Zaidatul enggan meletakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya memilih untuk menikmati setiap detik perlumbaan.
“Saya tidak mahu meletakkan tekanan untuk kali ini,macam tahun lepas pun tak sangka boleh pecah rekod kebangsaan. Tahun ini saya ingin nikmati dan fokus pada latihan dengan harapan semua berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN
cAPTIOn
Zaidatul Husniah Zulkifli turut mengambil bahagian dalam Hari Sukan Atlet yang di adakan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON








