PETALING JAYA: Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini setaraf pemain Eropah selepas pamer persembahan mantap selepas mencetak nama selaku penjaring bagi menewaskan Selangor FC 3-0 dalam perlawanan Sumbangsih 2025 di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Beliau berkata, meskipun JDT yang dibarisi pemain warisan dan import yang berkualiti, namun kemampuan Arif mengawal bola, mencipta gerakan dan mengekalkan prestasi tinggi cukup untuk membuktikan kematangannya membarisi kesebelasan utama.
“Arif sudah sampai tahap boleh ‘ketuk pintu’ kelab di sebelah Barat (Eropah). Dia bukan sahaja pantas, malah sukar diramal.
“Kadang-kadang dia ‘cut in’, kadang ‘cut out’ dan setiap gerakan membuka ruang besar buat rakan sepasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, keupayaan Arif mengekalkan disiplin di dalam dan luar padang serta sikap merendah diri wajar dijadikan contoh oleh pemain tempatan lain.
“Dia tidak menunjuk walaupun sudah bergelar bintang. Dari segi disiplin, Arif antara yang terbaik. Ini ciri-ciri pemain profesional sebenar,” ujarnya.
Beliau turut menggesa akademi bola sepak tempatan memberi tumpuan kepada pencarian bakat baharu seperti Arif Aiman bagi memastikan Malaysia terus melahirkan pemain bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, mengulas perlawanan kelmarin, Wan Jamak mengakui JDT memiliki kelebihan dari segi hantaran dan penguasaan permainan berbanding Selangor yang masih mencari rentak permainan.
“JDT setiap tahun akan buat sesuatu yang berlainan untuk menguatkan pasukannya.Kita boleh satu perlawanan yang ada perbezaan antara pemain JDT dan Selangor.
Tidaklah terlalu jauh tapi saya nampak dari segi hantaran bola,kawalan permainan, develop play dia, kita nampak perbezaan yang terlalu ketara antara kedua-dua pasukan,” katanya. – UTUSAN










