PETALING JAYA: Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan mengakui kecederaan yang dialaminya telah merencatkan hasratnya untuk merangkul pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad, India, kelmarin.
Aniq beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg) melakukan angkatan 111 kg bagi acara snatch dan mengangkat bebanan 142kg dalam acara clean and jerk sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 253kg untuk merangkul pingat perak.
Pingat emas dimenangi atlet tuan rumah, Rishikanta Singh yang melakukan jumlah angkatan 271kg manakala gangsa milik Isuru Kumara dari Sri Lanka (249kg).
“Ya, kecederaan yang saya alami memang mengganggu sebab saya hanya ada dua minggu sahaja untuk melakukan latihan penuh. Bagaimanapun, secara keseluruhannya saya berpuas hati sebab saya tengah cedera di bahu.
“Alhamdulillah, kecederaan yang saya alami ini keadaannya semakin bertambah baik,” katanya.
Atlet berusia 23 tahun itu turut berkata, selepas ini dia akan memberi fokus kepada persiapannya untuk menghadapi Kejohanan Angkat Berat Dunia di Forde, Norway pada 2 hingga 11 Oktober ini.
Berdasarkan laporan kesihatan yang dikeluarkan Institut Sukan Negara (ISN), 19 Ogos lalu, Aniq mengalami kecederaan di bahu kanan selepas terdapat koyakan pada otot supraspinatus dan tidak cergas sepenuhnya.
Sementara itu, atlet angkat berat remaja wanita negara, Irene Jane Henry turut membawa pulang pingat perak selepas melakukan jumlah angkatan 161kg bagi kategori 48kg.
Pingat emas dimenangi atlet India, Mirabai Chanu Saikhom dengan jumlah angkatan 193kg manakala gangsa milik Nikole Roberts dari Wales (150kg). – UTUSAN










