Badang negara turun pertahan emas

Badang negara turun pertahan emas

Mohamad Aniq Kasdan yang menang pingat emas dalam kategori 55 kilogram di Birmingham pada 2022 akan beraksi dalam kategori berat 60 kilogram pada Sukan Komanwel Glasgow kali ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan bertekad mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi lalu apabila turun beraksi pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

Aniq yang mencipta sensasi dengan menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen negara menerusi kategori 55 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, kini menyasarkan kejayaan sama biarpun bakal bersaing dalam kategori 60kg.

Atlet berusia 24 tahun itu mengakui persiapan menjelang temasya kali ini bukan sesuatu yang mudah apabila berdepan pelbagai cabaran sejak dua bulan kebelakangan ini, namun tetap yakin mampu memberikan persembahan terbaik.

“Saya janji akan buat yang lebih baik. Saya cuba kekalkan pingat emas yang dimenangi empat tahun lalu supaya segala usaha saya berlatih selama ini tidak sia-sia.

“Saya akui sebulan atau dua bulan terakhir sebelum kejohanan banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Saya berjanji untuk memberikan aksi terbaik dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepada saya,” katanya.

Acara angkat berat di Sukan Komanwel 2026 akan berlangsung di SEC Armadillo bermula Ahad ini hingga 30 Julai.

Selain Aniq, dua lagi atlet negara yang turut diletakkan sebagai sandaran emas ialah Muhamad Aznil Bidin dalam kategori 65kg dan Syahmi Nor (88kg).

Muhammad Erry Hidayat yang akan beraksi dalam kategori 79kg pula menyasarkan penampilan keduanya di pentas Sukan Komanwel mampu diterjemahkan dengan kejayaan membanggakan.

“Saya mahu memberikan yang terbaik dalam penampilan di Sukan Komanwel 2026. India antara lawan paling kuat dalam kejohanan ini.

“Saya akan mengikuti segala strategi yang dirancang oleh jurulatih bagi mendapatkan pingat emas,” katanya yang sebelum ini meraih perak di temasya itu pada edisi lalu.

Sementara itu, Syahmi turut memasang impian untuk menyumbang pingat emas buat kontinjen negara.

“Saya cuba memberikan aksi terbaik agar dapat membawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” katanya.

Cabaran negara di temasya itu turut digalas Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), Muhammad Farris Haikal (atas 110kg), Irene Jane Henry (48kg), Nur Syazwani Radzi (63kg) dan Siti Aqilah Farhana (atas 86kg). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN