Tiba masa ubah gaji tidak setanding produktiviti

Tiba masa ubah gaji tidak setanding produktiviti

MALAYSIA perlu memastikan pertumbuhan gaji dan kemajuan ekonomi serentak ke hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA bertahun-tahun, Malaysia bergelut dengan paradoks peningkatan pertumbuhan ekonomi tanpa pertumbuhan gaji yang sepadan. 

Walaupun produktiviti pekerja yang rendah atau jurang kemahiran sering dijadikan alasan untuk fenomena ini, penjelasan ini tidak menggambarkan hakikat yang sebenar. Genangan atau stagnasi gaji (pertumbuhan upah perlahan dan sederhana) berpunca daripada interaksi kompleks strategi perniagaan, dasar pasaran buruh dan faktor ekonomi struktur yang perlu diberi perhatian segera. 

Untuk rekod, penengah dan purata gaji bulanan meningkat sebanyak 7.1 peratus dan 6.9 peratus pada 2023. 

Pemikir ekonomi tersohor memberi amaran supaya tidak mengambil mudah hubungan gaji-produktiviti. 

Adam Smith menerangkan pekerja yang produktif boleh memperoleh gaji rendah dalam pasaran buruh yang terlalu tepu. Karl Marx pula menekankan bagaimana sistem memaksimakan keuntungan secara asli akan menyekat gaji pekerja di bawah nilai produktif sebenar mereka. 

Sementara John Maynard Keynes menunjukkan bagaimana permintaan pengguna dan pelaburan perniagaan yang lemah menekan tingkat gaji ke bawah. 

Pemenang Hadiah Nobel seperti Joseph Stiglitz dan Paul Krugman menunjuk kepada globalisasi, perlindungan buruh yang lemah dan ketidakseimbangan kuasa korporat sebagai sebab utama tingkat gaji ketinggalan di belakang berbanding peningkatan produktiviti. Pengalaman Malaysia mencerminkan trend global ini. 

Walaupun peningkatan kemahiran pekerja kekal penting, pertumbuhan gaji mampan memerlukan pembaharuan sistemik untuk mengimbangi semula dinamik kuasa majikan-pekerja, memastikan peningkatan produktiviti diterjemahkan kepada gaji lebih tinggi dan meneruskan dasar ekonomi yang mengutamakan pertumbuhan saksama. 

 

STRATEGI PERNIAGAAN 

Banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) beroperasi dalam sektor sangat kompetitif dengan margin keuntungan rendah seperti sektor perdagangan borong dan runcit yang merangkumi hampir separuh daripada industri ini. Dengan pembezaan minimum, perniagaan sering bersaing pada harga dan bukannya inovasi, yang membawa kepada tekanan penjimatan kos termasuk gaji.

Ini mewujudkan kitaran ganas gaji rendah mengehadkan kuasa belanja pengguna, yang seterusnya menyekat pertumbuhan perniagaan dan pelaburan dalam teknologi yang meningkatkan produktiviti. 

Bagi memecahkan kitaran ini, peralihan ke arah model perniagaan bernilai tinggi diperlukan. Usaha menggalakkan keusahawanan dalam industri berasaskan pengetahuan, menyokong automasi dan memberi insentif kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D)  boleh membantu firma meningkatkan rantaian nilai dan seterusnya mewujudkan pekerjaan yang memberikan pulangan gaji yang lebih baik dalam proses itu. 

Kerajaan sebagai contoh, melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mengenal pasti beberapa sektor bernilai tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi seperti kenderaan elektrik (EV), elektrik dan elektronik (E&E) serta mesin dan peralatan (M&E). 

 

DILEMA BURUH ASING

Di sudut yang lain, kebergantungan Malaysia kepada buruh asing kos rendah mengisi jurang tenaga kerja yang kritikal. Namun, ia juga membawa risiko jangka panjang. Walaupun pekerja asing menyokong industri utama, kebergantungan yang berlebihan pada buruh murah mengurangkan keperluan mendesak bagi perniagaan untuk melabur dalam inovasi atau meningkatkan kemahiran pekerja tempatan. 

Gaji minimum, walaupun bermanfaat untuk pekerja asing, tidak banyak meningkatkan pertumbuhan gaji domestik jika perniagaan kekal terperangkap dalam model produktiviti rendah. 

Pendekatan yang lebih seimbang diperlukan dan dilakukan secara beransur-ansur bagi mengalihkan dasar buruh untuk menggalakkan automasi di samping memastikan pengambilan pekerja asing sebagai faktor penggenap, bukannya menggantikan pertumbuhan tenaga kerja tempatan. 

 

AKAUNTABILITI KORPORAT DAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Perniagaan mesti mengiktiraf peranan mereka dalam membentuk trend gaji. Keuntungan tidak sepatutnya mengorbankan gaji yang adil dan pembangunan pekerja. Di peringkat global, konsep kapitalisme pihak berkepentingan, di mana syarikat mengimbangi pulangan kewangan dengan tanggungjawab sosial semakin mendapat daya tarikan. 

Firma Malaysia boleh menerapkan pemikiran ini dengan melabur dalam latihan pekerja, pampasan yang adil dan peningkatan produktiviti jangka panjang. Bahagian pampasan pekerja (CE) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) merupakan antara kaedah yang kerap digunakan untuk membandingkan pulangan kepada pekerja. 

Kadar CE di Malaysia menurun dengan mendadak sejak 2020 dengan nisbah berkurangan daripada 37.4 peratus kepada 33.1 peratus pada 2023. Nisbah ini jauh daripada sasaran Ekonomi Madani yang menetapkan CE pada 45 peratus pada 2033. 

 

TUAS DASAR UNTUK PERTUMBUHAN INKLUSIF

Campur tangan kerajaan adalah penting untuk mengemudi ekonomi ke arah gaji dan produktiviti yang lebih tinggi.

Strategi utama termasuk : 

  • Insentif fiskal yang disasarkan untuk firma dalam sektor pertumbuhan tinggi (teknologi, tenaga hijau, pembuatan lanjutan) yang melabur dalam kemahiran dan inovasi.
  • Memperbaharui dasar buruh asing untuk memastikan ia tidak menjejaskan pertumbuhan gaji tempatan.
  • Mengukuhkan perlindungan pekerja untuk meningkatkan kuasa tawar-menawar dan agihan gaji yang adil.
  • Menyokong pendigitalan PKS untuk membantu perniagaan beralih kepada operasi bernilai tinggi. 

 

TINDAKAN KOLEKTIF 

Bagi menangani gaji yang stagnan, penting untuk menyedari  perniagaan, pekerja dan penggubal dasar semuanya mempunyai peranan. Dengan memupuk amalan perniagaan strategik, menyelaraskan dasar buruh dengan matlamat ekonomi jangka panjang dan menggalakkan penggunaan teknologi, Malaysia boleh membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif.

Pertaruhannya tinggi. Jika gaji terus ketinggalan berbanding tingkat produktiviti, ketaksamaan sosial akan meluas, permintaan pengguna menjadi lemah dan usaha untuk mencapai status berpendapatan tinggi akan menjadi lebih sukar. 

Penyelesaiannya bukan sahaja terletak pada mewujudkan pekerja yang lebih baik tetapi dalam membina ekonomi yang lebih adil, ekonomi di mana pertumbuhannya akan memberi manfaat kepada semua. 

Sekarang adalah masa untuk tindakan yang berani dan diselaraskan. Melalui dialog, inovasi, dan tanggungjawab bersama, Malaysia boleh memastikan pertumbuhan gaji dan kemajuan ekonomi serentak ke hadapan. –UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Lim Fui Yee ialah Pensyarah Program Ekonomi Sumber Manusia Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

 

PROFESOR Dr. Ho Chong Mun ialah Pensyarah  Program Matematik dengan Ekonomi Fakulti Sains & Teknologi  Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN