KUALA LUMPUR: Thailand selaku tuan rumah Sukan SEA 2025 memberi jaminan tahap keselamatan akan dipertingkatkan bagi memastikan kelangsungan acara Muay Thai di Songkhla berjalan lancar, meskipun berdepan ketegangan politik dengan Kemboja.
Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, jaminan itu diterima ketika mesyuarat bersama Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) baru-baru ini, dengan wakil Kemboja turut memaklumkan akan menghantar pasukan penuh ke temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung Disember ini.
Menurutnya, LOC juga telah mengingatkan semua delegasi negara peserta supaya mengelak daripada membawa elemen politik ke dalam kejohanan, termasuk laungan atau simbol yang boleh mencetuskan ketegangan antara negara.
“Kita memang berpegang kepada pendirian untuk tidak mencampuradukkan politik dan sukan.
“LOC sudah mengingatkan, jangan ada laungan dari Thailand, jangan juga dari Kemboja yang menyentuh hal politik.
“Sukan adalah sukan, semua pihak termasuk jurulatih dan pengurus pasukan telah bersetuju dengan perkara ini.
“Setakat ini, tidak timbul sebarang isu, cuma kita tetap bimbang sekiranya berlaku konflik yang boleh mengganggu kelancaran kejohanan,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut, beliau berkata satu lawatan teknikal ke lokasi pertandingan turut diadakan minggu lalu di Songkhla yang bakal menjadi venue rasmi bagi acara Muay Thai.
Katanya, LOC telah memberi taklimat mengenai aspek keselamatan sepanjang temasya berlangsung, termasuk pergerakan dan keselamatan pengunjung serta peserta.
“Kita dah lihat sendiri lokasi pertandingan dan diberi penerangan mengenai langkah-langkah keselamatan yang akan diambil. Segala perkara teknikal telah dibincangkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan,Shahnaz berkata, acara Muay Thai dilihat sebagai antara sukan tempur yang paling jelas dari aspek pemarkahan dan kurang kontroversi berbanding disiplin lain.
“Muay Thai ini sukan yang sangat jujur dan mudah difahami. Dari segi pemarkahan, ia agak jelas dan kurang subjektif jika dibandingkan dengan sukan tempur lain.Jadi kita yakin tiada isu besar akan timbul dari segi teknikal,” katanya. -UTUSAN










