PETALING JAYA: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menaruh kepercayaan bahawa barisan pelari pecut negara masih berpeluang untuk menggapai pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025.
Keyakinan itu tetap disuarakan walaupun selepas melihat kejayaan pelari Thailand, Puripol Boonson mempamerkan aksi konsisten dalam acara 100 meter (m) apabila mencatat masa terpantas keseluruhan di pusingan pertama pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) yang kini sedang berlangsung di Jerman.
Puripol mencatat masa 10.23 saat (s) pada pusingan pertama saringan kedua menewaskan dua pencabarnya Eino Olavi Vuori dari Finland (10.42s) di tempat kedua dan ketiga, Lin Yu-sian dari Taiwan (10.47s).
“Acara riben biru ini macam-macam boleh berlaku. Berbaki lagi empat bulan ke Sukan SEA, saya harap pelari pecut negara perlu kerja keras untuk merampas gelaran Raja Pecut Asia Tenggara dari Thailand,” kata Nazmizan.
Terdahulu, Puripol sudah memberi bayangan awal apabila sebelum ini dia memenangi pingat perak di Kejohanan Olahraga Asia, Gumi, Korea Selatan, Mei lalu selepas menamatkan lariannya 10.20s.
Dia juga membawa pulang perak dalam acara 4x100m di Gumi selepas beraksi bersama kuartet Thailand yang turut dibarisi Natawat Iamudom, Thawatchai Himaiad dan Chayut Khongprasit.
Sebagai rekod,Puripol merangkul pingat perak di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas menewaskan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang membawa pulang gangsa. – UTUSAN










