Profesional maklumat didik masyarakat celik digital

Profesional maklumat didik masyarakat celik digital

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era pasca pandemik yang menyaksikan lonjakan penggunaan teknologi digital, masyarakat berdepan lambakan maklumat tanpa sempadan. Malangnya, tidak semua mampu membezakan antara maklumat sahih dan berita palsu, antara fakta dan fitnah.

Di sinilah letaknya kepentingan profesional maklumat, satu golongan yang sering tidak diberi perhatian sewajarnya, Namun hakikatnya menjadi tunjang kepada usaha membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab.

Mereka merangkumi pustakawan, pengurus maklumat, pakar dokumentasi, juruarkib dan pegawai sains maklumat yang dilatih secara formal untuk mentadbir, menilai, menapis, menyusun serta menyampaikan maklumat kepada khalayak dengan cara yang sistematik dan bertanggungjawab. Tidak hanya bekerja di perpustakaan atau arkib tetapi peranan mereka berkembang ke ruang siber, pendidikan, industri kreatif malah agensi keselamatan negara.

Profesional maklumat memainkan peranan penting sebagai agen literasi digital. Mereka membimbing masyarakat sama ada pelajar, penjawat awam, komuniti desa mahupun warga emas untuk memahami konsep asas digital seperti privasi dalam talian, ketulenan maklumat, keselamatan siber dan etika penggunaan media sosial.

Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2023 menunjukkan 43 peratus pengguna internet di Malaysia tidak pasti sama ada sesuatu maklumat yang diterima di media sosial adalah sahih. Angka ini menggambarkan jurang literasi maklumat yang masih perlu dirapatkan dan profesional maklumat ada di barisan hadapan untuk menyelesaikannya.

Antara peranan penting profesional maklumat juga sejajar dasar negara seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030. Dalam kerangka ini, profesional maklumat menjadi pemangkin kepada matlamat menjadikan rakyat celik teknologi dan maklumat secara serentak. Mereka membantu menjayakan visi kerajaan dalam meningkatkan daya saing negara melalui pengurusan maklumat yang cekap dan etikal.

Lebih penting, mereka juga terlibat dalam pembangunan kurikulum pendidikan maklumat di peringkat sekolah dan universiti. Ini dapat dilihat melalui penyertaan profesional maklumat dalam Jawatankuasa Penasihat Akademik di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) yang membangunkan program literasi maklumat sebagai kursus wajib bagi pelajar universiti.-UTUSAN

MOHD. ZAIRUL MASRON
Pensyarah Kanan/Koordinator Media Sosial
Pejabat Komunikasi Strategik
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN