MALAYSIA Madani merupakan kerangka dasar yang diperkenalkan dengan matlamat membangunkan sebuah negara yang maju, sejahtera dan inklusif.
Kerangka ini berlandaskan enam teras utama yang menjadi panduan dalam pentadbiran serta pembangunan negara, termasuk nilai hormat yang amat penting dalam masyarakat majmuk.
Seiring dengan revolusi digital, muncul golongan pempengaruh media sosial yang semakin berperanan dalam mencorakkan pemikiran serta tingkah laku masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dengan kuasa besar yang dipegang golongan ini, timbul persoalan penting, adakah pempengaruh media sosial benar-benar menjalankan tanggungjawab dengan beradab dan berilmu?
Mereka mempunyai kuasa untuk membentuk naratif, membangkitkan kesedaran dan memberi impak yang mendalam terhadap pemikiran dan tingkah laku masyarakat. Ingat, mereka juga boleh menaikkan kebencian dan permusuhan sesama masyarakat. Ibarat meletakkan minyak petrol semasa kebakaran!
Tindakan yang tidak sensitif, provokatif atau tidak berasaskan fakta boleh memburukkan lagi keadaan.
PERANAN PEMPENGARUH
Penting untuk pempengaruh memahami kepentingan bertindak secara beradab dan berilmu dalam setiap kandungan yang dihasilkan. Kuasa yang dimiliki ini datang dengan tanggungjawab besar.
Dalam konteks media sosial, adab merangkumi penggunaan bahasa yang baik, penghormatan terhadap pandangan orang lain dan mengelakkan penyebaran fitnah atau maklumat palsu.
Malangnya, terdapat pempengaruh yang kadangkala mengabaikan aspek ini demi populariti atau perhatian.
Mereka mungkin menggunakan bahasa kasar, membangkitkan isu kontroversi tanpa asas yang kukuh atau memanipulasi emosi pengikut dengan kandungan sensasi. Perbuatan sebegini bukan sahaja mencetuskan ketegangan sosial tetapi juga merosakkan reputasi mereka sebagai individu yang dipercayai.
Adab bukan sekadar kesopanan tradisional tetapi juga seni berkomunikasi yang menghormati kepelbagaian pemikiran dan sensitiviti sosial. Di media sosial, penggunaan bahasa yang baik, penghormatan terhadap pandangan orang lain, serta mengelakkan penyebaran fitnah atau maklumat palsu adalah asas penting dalam interaksi dalam talian.
Pempengaruh digital yang cemerlang perlu bijak dalam menyampaikan mesej, menghormati pandangan berbeza tanpa mendiskreditkan serta memastikan kesahihan maklumat yang dikongsi.
Mereka bukan sekadar penyampai maklumat tetapi juga memainkan peranan sebagai pemangkin perpaduan dan pemahaman dalam masyarakat. Oleh itu, tanggungjawab moral dalam penggunaan media sosial harus diberi perhatian agar platform ini kekal sebagai ruang interaksi yang sihat dan membina.
Dalam era maklumat yang pantas, mereka perlu menjadi benteng kebenaran. Ini bermakna melakukan penyelidikan mendalam sebelum berkongsi sebarang maklumat, menyediakan konteks yang komprehensif dan sentiasa mendidik pengikut mereka.
Pempengaruh sejati tidak sekadar mencari perhatian, tetapi berusaha mencetuskan pemikiran kritis dan memberi pencerahan kepada masyarakat.
Adab dalam media sosial juga melibatkan kepekaan terhadap isu-isu semasa dan perasaan pengikut. Sebagai contoh, ketika berhadapan dengan situasi yang sensitif seperti bencana alam atau isu keagamaan, pempengaruh perlu berhati-hati dalam menyampaikan pandangan mereka agar tidak menyinggung mana-mana pihak.
ILMU
Selain beradab, pempengaruh juga perlu berilmu. Ini bermakna mereka perlu memastikan segala maklumat yang disampaikan adalah tepat, relevan dan disokong fakta. Dalam era di mana maklumat palsu mudah tersebar, pempengaruh bertanggungjawab untuk menjadi sumber rujukan yang dipercayai.
Sebagai contoh, dalam isu-isu semasa, terdapat pempengaruh yang menyebarkan maklumat tanpa asas saintifik, menyebabkan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat. Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu dalam memastikan maklumat yang disampaikan tidak hanya popular, tetapi juga benar dan bermanfaat.
Pempengaruh perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang berkaitan dengan bidang yang mereka ceburi. Jika aktif dalam bidang fesyen, mereka perlu memahami tentang etika peragaan dan budaya pakaian.
Jika berkongsi tentang kewangan, mereka harus memiliki pengetahuan mendalam tentang ekonomi dan pengurusan kewangan.
Namun, menjadi seorang pempengaruh yang beradab dan berilmu bukanlah tugas yang mudah. Mereka sering berhadapan dengan tekanan untuk menghasilkan kandungan menarik dalam masa singkat, bersaing dengan rakan sebaya dan memenuhi jangkaan pengikut.
Selain itu, terdapat juga godaan untuk memilih jalan mudah seperti mencetuskan kontroversi atau menyebarkan maklumat sensasi demi meningkatkan jumlah tontonan dan tanda suka.
Dalam dunia di mana kejayaan diukur berdasarkan bilangan pengikut dan penglibatan, pempengaruh sering terperangkap dalam dilema antara mengejar populariti atau mengekalkan integriti.
Untuk memastikan pempengaruh media sosial menjadi teladan yang baik, beberapa langkah boleh diambil seperti melatih diri dalam aspek etika, komunikasi dan ilmu pengetahuan.
Program atau bengkel khusus boleh dianjurkan pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau platform media sosial sendiri.
Platform media sosial perlu memainkan peranan dalam memantau dan menyekat kandungan tidak beradab atau mengandungi maklumat palsu. Pengikut juga perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan kepada mereka yang menghasilkan kandungan berkualiti dan membina, serta menegur secara sopan mereka yang menyimpang dari nilai-nilai ini.
Anugerah atau penghargaan boleh diberikan kepada mereka yang mempamerkan integriti, adab dan ilmu dalam kandungan. Ini boleh menjadi motivasi untuk pempengaruh lain mengikuti jejak langkah sama.
Pempengaruh media sosial mempunyai kuasa besar dalam membentuk pemikiran dan budaya masyarakat. Oleh itu, mereka perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh adab dan ilmu.
Keupayaan untuk menjadi pempengaruh yang bertanggungjawab bukan sahaja membawa manfaat kepada masyarakat tetapi juga memperkukuhkan integriti dan reputasi diri.
Sebagai masyarakat, kita juga bertanggungjawab untuk menyokong dan mengiktiraf pempengaruh yang membawa kebaikan serta menegur mereka yang menyimpang dari nilai-nilai ini. Dengan usaha bersama, kita dapat membina ekosistem media sosial yang lebih positif dan berintegriti.
Kejayaan seorang pempengaruh digital tidak diukur dengan bilangan ‘suka’ atau pengikut tetapi dengan keupayaan mereka menggerakkan pemikiran positif dalam masyarakat.-UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Pejabat Perundangan & Pematuhan Tadbir Urus, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, Pahang.











