Pelantikan Hamidin tiada pertindihan kuasa

Pelantikan Hamidin tiada pertindihan kuasa

Mohd Joehari Mohd Ayub
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada pertindihan kuasa akan berlaku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) biarpun Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Kehormat badan induk itu.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, pelantikan Hamidin dibuat berdasarkan pengalaman, kredibiliti serta rekod cemerlang beliau dalam memperkasa bola sepak tanah air.

Katanya, bekas Presiden FAM itu juga mempunyai hubungan erat dengan badan induk bola sepak antarabangsa seperti Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Tiada isu (pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat), semua memiliki kredibiliti masing-masing, cuma kita anggap pelantikan Tan Sri (Hamidin) akan memberi nilai tambah kepada pengurusan FAM pada masa akan datang.

“Beliau akan memainkan peranan untuk membantu, memberi nasihat selain menjadi duta kepada FAM. Mungkin dengan kehadirannya, FAM akan dapat membuat keputusan yang lebih baik selepas ini.

“Pelantikan ini juga telah dibincangkan secara bersama dalam FAM dan Alhamdulillah, saya nampak semua 100 peratus bersetuju dan penerimaan yang amat baik daripada ahli dan tiada sebarang aduan diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 semalam yang meluluskan pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat badan induk itu.

Menurut Mohd. Joehari, pelantikan Hamidin tidak melibatkan sebarang bayaran gaji dan tempoh jawatannya adalah seumur hidup.

Pelantikan Hamidin ke jawatan itu berdasarkan Artikel 22 Statut FAM yang membenarkan Kongres menganugerahkan gelaran tersebut kepada individu yang pernah memegang jawatan Presiden dan telah memberi sumbangan luar biasa.

Sebagai Presiden Kehormat, Hamidin diberi peranan sebagai penasihat strategik kepada Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Tetap dan Sekretariat FAM selain boleh menghadiri mesyuarat rasmi walaupun tanpa hak mengundi.

Lebih menarik, tokoh berusia 64 tahun itu juga akan bertindak sebagai duta rasmi FAM dalam acara domestik mahupun antarabangsa dengan membawa nama Malaysia di pentas global dan menjadi jambatan hubungan diplomatik sukan.

Dalam sejarah FAM, hanya satu nama sebelum ini pernah memegang jawatan sama iaitu Almarhum Sultan Ahmad Shah yang menjadi Presiden FAM selama 30 tahun (1984-2014) sebelum baginda diberi gelaran Presiden Kehormat pada 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN