GEORGE TOWN: Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen perlu diberikan tempoh yang mencukupi.
Chong Wei berkata, hal ini penting bagi membolehkan beliau melaksanakan segala perancangannya dalam usaha membina semula kekuatan pemain badminton perseorangan negara sekali gus membentuk skuad elit negara dalam sukan itu pada masa depan.
“Masa yang diperlukan (untuk membentuk skuad elit badminton) bukanlah sebulan, bukan setahun, malah, mungkin lebih daripada dua tahun. Sekurang-kurangnya, kita perlu satu penggal iaitu empat tahun. Kita perlu beri ruang untuk dia menyesuaikan diri dengan budaya tempatan dan membina pasukan semula.
“Macam anak baru lahir, nak tunggu berjalan pun ambil masa setahun. Apatah lagi nak lahirkan juara dunia,” katanya ketika ditemui selepas menerima pingat Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Chong Wei berkata, prestasi semasa pemain perseorangan negara memang menunjukkan ketidakstabilan, namun, semua pihak memberi kepercayaan sepenuhnya kepada jurulatih dari Denmark itu untuk melaksanakan pelan jangka panjangnya.
Chong Wei berkata, beliau sendiri telah mengadakan perbincangan bersama Jonassen dan menyifatkan idea serta pendekatan yang dibawa jurulatih tersebut sebagai positif dan berpotensi membantu pembangunan pemain perseorangan negara.
“Saya telah berjumpa dan berbincang dengannya (Jonassen) tentang bagaimana saya boleh membantu skuad perseorangan negara. Idea yang dibawanya sangat bagus dan saya bersetuju dengan beliau. Tapi seperti biasa, kita perlu beri masa,” katanya.
Mengulas prestasi semasa, Chong Wei berkata, ketika ini, hanya Lee Zii Jia dilihat berpotensi untuk menyerlah selepas kembali daripada kecederaan, manakala Ng Tze Yong pula sedang mendapatkan rawatan di Doha, Qatar.
Bagaimanapun, kata beliau, persembahan kedua pemain itu pun masih belum stabil dan mencapai tahap yang memuaskan, termasuk prestasi pemain muda, Leong Jun Hao yang masih turun naik. – UTUSAN










