FUNGSI matlamat dan tujuan utama pendidikan nasional adalah untuk melahirkan generasi anak bangsa Malaysia yang bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, tetapi juga unggul dari segi akhlak dan moral.
Insan yang memiliki akhlak mulia bukan sahaja dapat membina kesejahteraan dalam diri mereka sendiri, malah mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat secara keseluruhan.
Oleh itu, penerapan nilai-nilai murni menjadi salah satu keutamaan dalam sistem pendidikan negara. Nilai-nilai luhur ini disampaikan sama ada secara langsung melalui pendidikan moral dan agama, ataupun secara tidak langsung melalui mata pelajaran lain serta penglibatan dalam aktiviti kokurikulum.
Matlamat mulia ini adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) (dulu dikenali Falsafah Pendidikan Negara, FPN), yang menggariskan sistem pendidikan merupakan usaha berterusan untuk membentuk potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.
Usaha ini bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berlandaskan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.
Penekanan terhadap nilai-nilai moral juga pernah ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menerajui Kementerian Pendidikan, suatu ketika dahulu. Beliau menekankan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar tidak boleh diabaikan, khususnya melalui pelaksanaan Kurikulum Baharu Sekolah Menengah (KBSM) dan selaras dengan FPK.
Kini, apabila beliau diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, saya yakin hasrat murni tersebut tetap segar dalam ingatannya. Sudah pasti beliau mengharapkan agar FPK terus dipertahankan dan dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh kementerian yang berkaitan.
Perubahan terhadap kurikulum pendidikan sememangnya boleh dilakukan selaras dengan perkembangan semasa dalam dunia pendidikan global. Namun begitu, matlamat serta asas FPK tidak wajar digugurkan atau dipinggirkan. Ini kerana ia menggariskan hala tuju yang jelas dalam melahirkan generasi anak bangsa Malaysia yang berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan menyumbang secara positif kepada kemakmuran masyarakat mahupun negara.
Tujuan dan matlamat pendidikan negara mestil difahami serta dihayati oleh pemimpin politik agar mereka tidak sewenang-wenangnya membawa masuk unsur-unsur yang boleh mencemarkan kesucian sistem pendidikan negara. Sebagai contoh, pernah timbul cadangan daripada segelintir ahli politik untuk membenarkan syarikat arak dan judi menyalurkan dana kepada institusi pendidikan atas nama kerja amal dan sumbangan.
Lebih membimbangkan, baru-baru ini tular pula isu penjualan arak di sebuah premis dalam kawasan sekolah rendah di Pontian, Johor yang mengakibatkan kekecohan sehingga 18 lelaki ditahan oleh pihak berkuasa.
Insiden tersebut berlaku dalam sebuah acara yang diadakan di dewan sekolah berkenaan dan mencetuskan persoalan besar, bukankah Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan garis panduan jelas bahawa sekolah tidak dibenarkan menerima sumbangan daripada syarikat arak dan judi, apatah lagi membenarkan penjualan arak di dalam kawasan sekolah?
Arahan ini tidak seharusnya dikompromi atau dipersoalkan kerana institusi pendidikan adalah medan utama untuk menyemai nilai-nilai murni dalam diri generasi muda. Justeru, kita mengharapkan tindakan tegas diambil terhadap insiden tersebut, seperti yang dijanjikan oleh pihak kementerian. Tidak wajar ada sebarang kelonggaran dalam perkara yang melibatkan maruah pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak kita.
‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’ dan Islam sendiri amat menekankan kepentingan pendidikan yang tidak merosakkan akal pemikiran dan fitrah insaniah.
Jika di rumah, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian anak-anak, maka di sekolah pula proses pengukuhan nilai-nilai murni diteruskan melalui penerapan yang berterusan dalam jiwa para pelajar.
Guru bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu mengikut mata pelajaran tertentu, malah turut memikul tanggungjawab besar dalam membentuk nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Nilai-nilai ini diterapkan secara langsung mahupun tidak langsung melalui komunikasi harian di dalam bilik darjah serta melalui pelbagai aktiviti kokurikulum yang mampu mempengaruhi pembentukan sahsiah dan jiwa pelajar secara holistik.
Peranan ini juga selari dengan usaha KPM yang melaksanakan strategi penerapan nilai-nilai murni secara komprehensif, di mana nilai-nilai tersebut disisipkan dalam semua mata pelajaran dan diperkukuh melalui pelbagai kegiatan kokurikulum, baik di dalam mahupun di luar bilik darjah, secara langsung atau tidak langsung.
TOLAK
Penerapan nilai-nilai luhur dalam sistem pendidikan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu agar keberkesanannya dapat dicapai dengan optimum. Justeru, usaha murni guru dalam mendidik anak bangsa tidak seharusnya dicemari anasir luar yang membawa agenda bertentangan dengan matlamat dan FPK. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan rentak dan kehendak segelintir pihak termasuk dalam kalangan ahli politik yang cuba membawa masuk elemen negatif ke dalam institusi pendidikan.
Dalam konteks ini, kita juga wajar menolak sebarang pandangan yang terlalu liberal serta berpotensi merosakkan pemikiran dan jiwa generasi muda.
Fungsi utama pendidikan sebagai agen pemasyarakatan dan pembudayaan yang bertanggungjawab menerapkan nilai-nilai luhur dalam kalangan pelajar mestilah dipelihara. Ia tidak boleh dicemari fahaman atau ideologi yang tidak selari dengan dasar, falsafah dan matlamat pendidikan negara.
Hakikatnya, dasar dan falsafah pendidikan negara perlu dipertahankan serta diimplementasikan secara konsisten dan tegas, khususnya dalam era penuh cabaran ini yang menyaksikan penularan pelbagai penyakit rohani, keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang semakin menghantui masyarakat.
Perlu diingat, jika pihak yang diamanahkan untuk mengurus kementerian yang begitu penting dalam pembinaan insan gagal mempertahankan dasar dan falsafah pendidikan negara, maka masa hadapan generasi akan datang berada dalam bahaya.
Insan yang berilmu tetapi tidak berakhlak hanya akan menjerumuskan kehidupan manusia ke jurang kebinasaan, baik di dunia mahupun di akhirat.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










