LONDON: Manchester United dilaporkan sedang mengadakan perbincangan awal dengan Dominic Calvert-Lewin, dalam usaha mendapatkan penyerang itu secara percuma selepas kontraknya tamat bersama Everton.
Tindakan dilakukan The Red Devils dilihat sebagai satu langkah bijak untuk memperkuatkan jentera serangan tanpa melibatkan kos perpindahan.
Menurut beberapa laporan, pengurusan baharu United menjadikan Calvert-Lewin sebagai pilihan alternatif menjelang musim baharu, susulan kegagalan kelab itu mendapatkan sasaran utama seperti Viktor Gyökeres dan Victor Osimhen yang menuntut kos perpindahan tinggi.
Penyerang berusia 28 tahun itu, yang telah mewakili England di peringkat antarabangsa, menawarkan kombinasi pengalaman dan fizikal yang kukuh di barisan hadapan walaupun dibelenggu beberapa kecederaan dalam beberapa musim terakhir, rekodnya bersama Everton kekal positif dan meyakinkan.
United kini sedang merangka beberapa perpindahan utama termasuk usaha mendapatkan Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo, namun tekanan terhadap struktur kewangan kelab mendorong mereka untuk mencari pilihan kos rendah yang masih mampu memberikan impak dan Calvert-Lewin dilihat menepati profil tersebut.
Pengendali United, Ruben Amorim, dilaporkan terbuka untuk meletakkan Calvert-Lewin sebagai pilihan ketiga atau keempat dalam skuad penyerang musim depan.
Ia satu peranan yang sesuai dengan sejarah kecederaannya serta statusnya sebagai pemain berpengalaman yang boleh digunakan dalam sistem rotasi.
Turut dilaporkan berada dalam radar United ialah dua lagi penyerang berpengalaman, Jamie Vardy dan Callum Wilson, namun Calvert-Lewin dikatakan menjadi pilihan utama kerana lebih sesuai dengan model taktikal Amorim dan keadaan kewangan semasa kelab.
Pemain itu sebelum ini mencuri perhatian selepas secara rasmi mengumumkan perpisahan dengan Everton, kelab yang diwakilinya selama sembilan musim sejak berhijrah dari Sheffield United pada tahun 2016. – AGENSI/UTUSAN










