Liverpool buru kapten Crystal Palace

Liverpool buru kapten Crystal Palace

Liverpool dijangka membawa masuk pemain pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi (depan) dalam musim baharu Liga Perdana Inggeris. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Liverpool semakin ghairah berbelanja bagi menguatkan pasukan menjelang aksi musim depan selepas dilaporkan bakal mendapatkan pemain Crystal Palace, Marc Guehi.

Guehi yang beraksi di posisi pertahanan turut berada dalam radar Arsenal, namun dilaporkan lebih cenderung untuk berpindah ke kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England.

Tahun lalu, Palace menolak tawaran Newcastle, tetapi mereka kini kelihatan lebih terbuka untuk melepaskannya ketika Arne Slot menyasarkan satu lagi tandatangan berprofil tinggi.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sibuk memperkuatkan skuad mereka, termasuk menandatangani penyerang Jerman, Florian Wirtz dengan rekod perpindahan British mencecah 116 juta pound (RM667 juta).

Bekas rakan sepasukan Wirtz di Bayer Leverkusen, Jeremie Frimpong juga menyertai The Reds, dan kapten Palace, Guehi mungkin akan menjadi penambahan seterusnya ke skuad Anfield.

Perbelanjaan Liverpool kini melebihi 200 juta pound (RM1.15 bilion) selepas turut membawa masuk Milos Kerkez dari Bournemouth pada minggu lalu.

Usaha Liverpool mendapatkan Guehi sebahagiannya dipacu oleh kebimbangan Ibrahima Konate mungkin meninggalkan Anfield selepas kontraknya tamat.

Liverpool sebelum ini melihat Jarell Quansah berpindah ke Jerman dan mereka kini bimbang dengan kemungkinan kesan jika pemain Perancis itu turut meninggalkan kelab.

Kontrak Konate, hanya berbaki setahun di Liverpool dan terdapat kebimbangan dia mungkin akan mengikuti jejak langkah Trent Alexander-Arnold dan membiarkan kontraknya tamat, dengan PSG dan Real Madrid dilaporkan sedang memantau situasi itu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN