Lima minggu tanpa aksi boleh makan diri

Lima minggu tanpa aksi boleh makan diri

Pearly Tan-M Thinaah akan membawa cabaran negara dalam acara beregu wanita pada Kejohanan Terbuka Jepun minggu ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengakui tempoh lima minggu tanpa kejohanan boleh menjadi ‘pedang dua mata’ kepada Pearly Tan-M. Thinaah menjelang kempen Terbuka Jepun, minggu ini.

Rosman berkata walaupun rehat panjang memberi ruang kepada penyusunan semula latihan, ianya juga boleh menjejaskan rentak yang sebelum ini dilihat sangat baik.

“Momentum mereka sebelum ini sangat baik di kejohanan sebelum ini. Harapnya mereka dapat mengekalkannya.

“Tapi saya juga risau, sebab dalam tempoh lima minggu itu, macam-macam boleh berlaku. Jadi kita akan lihat bagaimana mereka menyesuaikan diri pada kejohanan pertama nanti,” kata Rosman.

Pada aksi kejohanan terakhir di Terbuka Indonesia pada 8 Jun lalu menyaksikan beregu No. 3 dunia itu muncul naib juara selepas tewas kepada gandingan No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di Istora Senayan, Jakarta.

Dalam pada itu, Rosman turut menegaskan tiada laluan mudah meskipun beberapa gandingan utama dunia mula berpecah kerana semua pasukan tetap melihat Pearly-Thinaah sebagai sasaran kekal.

Menurutnya, semua lawan sudah arif dengan kekuatan dan kelemahan gandingan Malaysia itu, sekali gus menuntut strategi permainan yang lebih bijak dan berhati-hati.

“Semua pasangan lawan juga tahu bahawa Pearly dan Thinaah tidak akan dipisahkan dan mereka akan tetap kekal bersama, jadi semua pasukan akan cuba cari kelemahan kita.

“Jadi kalau kita tidak berwaspada dengan strategi permainan, pihak lawan boleh ‘baca’ kita lebih awal. Itu yang saya tekankan kepada mereka sejak latihan,” katanya.

Pearly-Thinaah bakal membuka kempen menentang pasangan kembar berpengalaman Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di pusingan pertama Terbuka Jepun yang membuka tirainya hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN