‘Kalau bukan sekarang, bila lagi’

‘Kalau bukan sekarang, bila lagi’

RASHID Sidek dalam sidang media sempena pelancaran filem Sentuhan Wira di Kuala Lumpur, semalam. Di sebelah beliau ialah legenda pemain beregu negara, Datuk Cheah Soon Kit. - UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : “Kalau kita nak ambil balik Piala Thomas, inilah masanya.”

Itu keyakinan penuh bekas juara Piala Thomas 1992, Datuk Rashid Sidek yang menyifatkan edisi 2026 di Horsens, Denmark sebagai peluang keemasan buat Malaysia menamatkan penantian lebih tiga dekad menjulang kejuaraan berprestij itu.

Rashid berkata, barisan pemain yang dimiliki negara ketika ini jauh lebih stabil, seimbang dan matang berbanding beberapa kempen terdahulu serta dilihat bersedia untuk kembali mencabar dominasi kuasa besar dunia.

“Kita sekarang ada dua perseorangan yang mantap Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao, ditambah beregu lelaki yang semakin konsisten. Jadi saya nampak ini detik terbaik untuk rampas semula Piala Thomas.

“Kalau semua dapat kekalkan prestasi, saya yakin peluang sangat cerah untuk kita jadi juara semula.

“Lebih-lebih lagi negara-negara besar seperti Indonesia dan Jepun kini dalam fasa peralihan generasi,” kata Rashid ketika ditemui pada pelancaran filem ‘Sentuhan Wira’ di sini, semalam.

Malaysia kali terakhir menjulang Piala Thomas pada 1992 selepas menewaskan Indonesia 3-2 dalam final penuh dramatik di Stadium Negara, dengan Rashid muncul antara watak utama kemenangan bersejarah itu.

Sebaliknya, China terus mendominasi kejohanan berpasukan itu dengan 11 kejuaraan, termasuk menundukkan Indonesia 3-1 dalam edisi 2024 di Chengdu, manakala Malaysia terkandas di separuh akhir.

Menurut Rashid, kerjasama sebagai satu pasukan menjadi kunci utama Malaysia untuk menjuarai kejohanan berprestij dwitahunan berkenaan.

“Piala Thomas bukan sekadar soal siapa paling kuat, tetapi siapa paling bersatu. Kalau semua pihak termasuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kekalkan momentum dan pastikan pemain bersedia dari segi fizikal dan mental, saya yakin kita mampu ulang sejarah,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN