Jari patah tidak halang Ammarul buat kejutan

Jari patah tidak halang Ammarul buat kejutan

A’mmarul Shafiq Ubaidillah (kanan) beraksi cemerlang pada Kejohanan BYON Combat Showbiz di Jakarta, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet sukan tempur profesional, A’mmarul Shafiq Ubaidillah tampil cemerlang apabila meraih kemenangan ke atas pencabarnya, Jordan Boy, dalam Kejohanan BYON Combat Showbiz Vol. 5 di Jakarta, baru-baru ini meskipun bertarung dalam keadaan jari patah.

Juara kebangsaan tujuh kali itu cedera selepas bertarung dengan Lutfi Julian dari Indonesia dalam Kejohanan MFN Kickboxing, Mei lalu, namun tetap meneruskan latihan menjelang perlawanan.

“Tangan saya mula kebas selepas lawan Lutfi tapi saya ingat itu cedera biasa. Bila latihan, saya tak dapat genggam betul-betul semasa grappling. Apabila buat x-ray dan doktor sahkan tulang di jari manis kanan serta jari kaki saya patah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sementara itu, jurulatih A’mmarul yang juga bapanya, Ubaidillah Latif berkata, A’mmarul diberi rehat selama tiga bulan, namun keputusan bertanding dibuat lebih awal selepas menandatangani kontrak kejohanan.

“Doktor minta dia rehat, tapi kami tiada pilihan. Jadi kami ubah strategi latihan, rujuk pakar dan susun suplemen untuk kurangkan risiko kecederaan,” ujarnya.

Atlet berusia 24 tahun itu sebelum ini meneruskan latihan dengan memberi fokus kepada tangan kiri serta menukar taktikal kepada serangan jarak jauh bagi menyesuaikan diri dengan keadaan tangan dominan yang cedera.

“Saya tak umumkan kecederaan ini lebih awal sebab bimbang pihak lawan ambil kesempatan. Sepanjang latihan, saya pakai simen di tangan dan inilah sebahagian daripada pengorbanan kejayaan saya,” katanya.

Kemenangan ke atas legenda Muay Thai Malaysia, Mohammed Mahmoud atau Jordan Boy, yang berpengalaman di pentas One Championship dianggap pencapaian peribadi buatnya kerana Jordan merupakan idolanya sejak mula menceburi Muay Thai empat tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN