MUNCUL sahaja musim kemasukan pelajar ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) akan ada suara-suara tidak berpuas hati dengan cara pengambilan pelajar oleh Bahagian Kemasukan Pelajar atau dulunya dikenali sebagai Unit Pusat Universiti (UPU) terutama bagi kemasukan ke kursus yang mendapat permintaan tinggi dan kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Kejuruteraan, Undang-Undang dan Perakaunan.
Dahulunya isu yang dipersoalkan mengapa ramai dalam kalangan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendapat keputusan cemerlang tidak mendapat tempat dalam bidang kritikal terutama program perubatan di Universiti Malaya.
Hujah bantahan yang digunakan DAP, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) dan MCA pada sekitar 2000 dan sebelumnya adalah UPU menggunakan sistem kuota 60:30:10 mengikut bangsa.
Atas desakan bertubi-tubi waktu itu, kerajaan pada 2002 menukar sistem kemasukan secara kuota kepada meritokrasi dan sistem itu kekal hingga hari ini.
Dalam masa sama, IPTA perlu menjana sendiri kewangan bagi membolehkan mereka lestari dari segi kewangan dan seterusnya mampu melonjakkan universiti ke taraf global tanpa menaikkan yuran pelajar.
Sehubungan itu, universiti awam memohon dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk sebahagian kecil tempat diberikan kepada universiti untuk menawarkan program tanpa subsidi kerajaan, Ini bermakna pelajar berkenaan perlu membayar yuran penuh seperti pelajar antarabangsa.
Bagaimanapun, bilangan pelajar yang memasuki melalui saluran terbuka yang diurus universiti masing-masing sangatlah sedikit.
Dalam konteks Universiti Utara Malaysia (UUM), sekitar 5,000 pengambilan pelajar setahun. Bilangan pelajar melalui saluran terbuka sangatlah kecil. Datanya seperti berikut:

Saluran ini dinamakan juga sebagai saluran komersial yang faedah akhirnya berbalik kepada masyarakat keseluruhan, termasuk kepada golongan pelajar B40 dan M40 dari segi menambah baik infrastruktur, mewujudkan pelbagai sumber untuk kebajikan serta meningkatkan daya saing universiti di peringkat global.
Universiti awam bukan bersifat komersial sepenuhnya dan tidak juga bergantung penuh kepada dana kerajaan kerana pergantungan penuh bukan strategi mampan, apa tah lagi dalam keadaan fiskal negara sekarang.
Jadi memang logiklah kalau universiti perlu cari keseimbangan antara tanggungjawab awam dan ketahanan kewangan jangka panjang.
Justeru, dakwaan mengaitkan saluran komersial dengan perampasan tempat B40 menggambarkan kurang kefahaman terhadap tujuan diwujudkan saluran komersial ini atau ada motif politik tersirat lain.
Ada juga dakwaan kononnya kemasukan pelajar ke IPTA melalui arus perdana dikurangkan kerana memberi laluan kemasukan secara komersial. Dakwaan ini bersifat ‘juling’ kerana pengambilan pelajar berdasarkan ketetapan kuota UPU.
Universiti yang berakar katakan institusi sejagat bukanlah medan untuk melawan antara kaya dan miskin, tetapi tempat untuk semua orang berhujankan ilmu dalam satu ekosistem pendidikan yang harmoni.
Naratif sengaja diciptakan seolah-olah universiti kini tidak lagi membela golongan B40 kerana wujudnya sistem saluran terbuka, sedangkan dalam konteks UUM dalam 24, 400 pelajar semuanya, seramai 16,900 atau 70 peratus ialah pelajar kumpulan B40.
Adakah orang maha kaya mempunyai peluang lebih baik untuk memasuki universiti melalui saluran terbuka ini?
Memang benar realitinya orang kaya mempunyai pelbagai pilihan sebelum sistem kemasukan secara terbuka ini diperkenalkan di IPTA lagi. Mereka mempunyai pilihan untuk memasuki kolej swasta, belajar di luar negara atau memilih IPTA.
Jika mereka ingin memasuki kursus perubatan di universiti swasta perlu membayar yuran sekitar RM300,000 hingga RM400,000. Sementara di IPTA dengan kelengkapan dan pakar yang lebih ramai, maka tidaklah pelik jika yurannya RM500,000. Adakah adil golongan maha kaya yang mampu membayar yuran tanpa subsidi dikenakan yuran sekitar RM30,000 sahaja untuk lima tahun pengajian?
PERSAINGAN SENGIT
Mengapa ada juga pelajar bukan golongan maha kaya atau T20 yang keputusannya cemerlang tetapi tidak mendapat tempat di IPTA?
Sebahagian pelajar cemerlang gagal mendapat tempat melalui UPU kerana persaingan sengit dan tempat yang sangat terhad.
Jika hanya ada 200 tempat di universiti tertentu untuk program perubatan sementara permintaan pelajar cemerlang sebanyak 20,000 orang, maka 19,800 tidak akan mendapat tempat. Tidak mungkin universiti berkenaan membuka tempat sehingga 2,000 pelajar, waima semuanya CGPA 4.0.
Pengambilan pelajar untuk sesebuah universiti mengambil kira semua aspek termasuk keperluan pasaran, pandangan badan profesional, kecukupan tenaga pengajar dan hal berkaitan logistik.
Selain itu, saluran terbuka juga tidak terlepas daripada penilaian kelayakan kerana mereka masih perlu memenuhi syarat akademik, kemahiran bahasa dan kriteria program. Tiada kompromi dari segi standard yang telah ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Kemasukan pelajar melalui saluran terbuka ini membantu mengekalkan kepelbagaian dalam komuniti kampus iaitu sesuatu yang penting untuk pembentukan pelajar yang berdaya saing, inklusif dan bersifat global.
Model saluran terbuka ini sebenarnya membuktikan kematangan sistem pendidikan tinggi. Ia bergerak ke arah lebih anjal kerana perubahan dalam dunia akademik berlaku begitu pantas, yang memerlukan universiti bergerak cepat dan mempunyai sumber kewangan sendiri.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).










