Hamidin tidak terima gaji FAM

Hamidin tidak terima gaji FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin tidak akan menerima imbuhan atau gaji daripada badan induk itu.

Naib Presiden FAM, N. Saaran berkata, jawatan itu diwujudkan di bawah Artikel 22 Statut FAM dan diberikan seumur hidup, namun tetap tertakluk kepada pembaharuan setiap kali kongres berlangsung.

“Mengikut statut, jawatan Hamidin adalah seumur hidup tetapi akan dibawa sebagai agenda dalam setiap kongres untuk memperbaharui. Memandangkan jawatan itu adalah Presiden Kehormat maka secara automatik beliau tiada apa-apa gaji.

“Presiden Kehormat mengikut statut hanya memberi nasihat atau pandangan mengikut pengalaman yang beliau ada. Semua keputusan akan dibuat oleh Ahli Jawatankuasa (Exco) dan Presiden Kehormat juga tiada hak mengundi dalam sebarang keputusan,” katanya.

Saaran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM berkata, jawatan Presiden Kehormat bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah dipegang oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pada 2014.

Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025, kelmarin menyaksikan badan induk bola sepak negara itu meluluskan pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat yang kedua selepas Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Walaupun tanpa kuasa eksekutif, kehadiran Hamidin dianggap sebagai simbol kesinambungan, pengalaman dan kestabilan dalam struktur pentadbiran FAM yang sedang berusaha memperkukuh hala tuju baharu bola sepak negara.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan bahawa pelantikan Hamidin dibuat berasaskan kredibiliti, kepimpinan dan sumbangan luar biasa beliau dalam tempoh lebih 30 tahun membangunkan sukan itu.

“Beliau bukan sekadar bekas Presiden FAM, tetapi pernah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat nasional dan antarabangsa. Pengalaman beliau amat berharga,” katanya.

Artikel 22 Statut FAM memberi kuasa kepada Kongres untuk menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat kepada mana-mana individu yang memberi sumbangan cemerlang dalam pembangunan bola sepak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN