Dunia tanpa arah jika guna teknologi tanpa integriti

Dunia tanpa arah jika guna teknologi tanpa integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMAT  sukar untuk kita bayangkan hidup tanpa kecerdasan buatan (AI). Malah pada hari ini, sebaik sahaja terjaga setiap pagi sehinggalah mengakhiri hari tersebut, AI sentiasa menemani.

Daripada perisian kegunaan harian seperti sistem pengesanan wajah pada telefon pintar, platform pembelajaran, media sosial dan sebagainya kepada lebih kompleks di dalam industri, semuanya kini menggunakan teknologi AI.

Hal ini sehinggakan AI boleh dianggap sebagai pembantu yang sangat setia serta sentiasa bersedia melaksanakan tugas diarah dengan efisien pada bila-bila masa tanpa apa-apa rungutan.

Bagi sektor industri pula, penggunaan AI semakin menjadi pilihan kerana kos penyelenggaraannya jauh lebih murah berbanding kos menggaji pekerja bagi melaksanakan tugas yang sama.

Prospek yang sangat besar dan menguntungkan dalam bidang ini mendorong syarikat-syarikat gergasi dunia berlumba-lumba menjadi peneraju utama kepada teknologi ini.

Namun begitu, di sebalik usaha untuk meningkatkan keupayaan negara menerokai bidang ini, ada dalam kalangan kita yang melahirkan rasa bimbang kesan negatif AI kepada kehidupan.

Malah, kesannya sudah dirasakan apabila ada yang diberhentikan kerja dan tempat mereka digantikan  AI kerana ia lebih cekap dan murah.

Memang tidak dapat dinafikan kecanggihan AI pada hari ini  menyebabkan banyak pekerjaan yang dahulunya hanya mampu dilakukan manusia, kini diambil alih oleh teknologi ini kerana lebih menguntungkan pihak industri.

Sebagai contoh, pada akhir tahun lalu, sebuah platform media sosial gergasi dunia mengumumkan peralihan fokus daripada penggunaan tenaga kerja manusia kepada AI dengan lebih meluas dalam menguruskan kandungannya.

Selari dengan perkembangan itu, syarikat tersebut memberhentikan ratusan tenaga kerja di seluruh dunia, termasuklah sebilangan kakitangan mereka di Malaysia.

Jika keadaan ini berterusan, ia berpotensi mencetuskan pelbagai masalah susulan. Dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu ketika ini, bukanlah sesuatu yang mudah bagi tenaga kerja yang diberhentikan untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

Kadar pengangguran yang meningkat akan memberi pengaruh yang sangat besar ke atas kadar jenayah dan masalah sosial.

Justeru, kesan pemberhentian kerja bukan hanya dirasai  kakitangan terbabit serta tanggungan mereka, tetapi turut mengakibatkan pelbagai masalah susulan kepada masyarakat dan negara.

Oleh itu, amat penting untuk kita memahami kelebihan diri berbanding mesin yang digerakkan oleh teknologi moden, agar tidak memilih kerjaya berisiko tinggi untuk digantikan oleh automasi.

 

 

SALAH GUNA

Kemajuan teknologi memberi kesan yang pelbagai kepada masyarakat, bergantung kepada cara ia diaplikasikan. Lazimnya teknologi dicipta bagi tujuan yang murni, namun akan ada sahaja mereka yang cuba mencari jalan bagi menggunakannya untuk kepentingan diri secara tidak bertanggungjawab.

Golongan ini dengan sengaja akan menyalahgunakan teknologi yang ada untuk tujuan negatif seperti keganasan, penipuan, mencuri dan sebagainya.

Mengambil pembangunan teknologi tenaga nuklear sebagai contoh, kita tentu maklum tentang manfaat pembangunan teknologi ini kepada kehidupan manusia sejagat.

Namun pada masa sama, sejarah memperlihatkan betapa tragisnya keadaan mangsa yang mengalami kesan jangka panjang serta kerosakan parah kepada alam sekitar akibat letupan bom nuklear di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun.

Oleh kerana itu, penting bagi kita untuk sentiasa sedar yang kemajuan teknologi akan membawa bersama kesan  buruk jika digunakan dengan cara  salah, sama ada berlaku kejadian luar jangka atau jika ia sengaja disalahgunakan bagi tujuan keganasan.

Maka, dalam melaksanakan usaha bagi melonjakkan pembangunan teknologi moden, kita harus berhati-hati dan mengambil kira secara serius akan kesannya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung ke atas kesejahteraan negara dalam jangka masa panjang.

Umum mengetahui  penggunaan AI dalam kalangan pelajar secara tidak bertanggungjawab mengakibatkan pelbagai masalah termasuk masalah integriti apabila ia  dijadikan alat untuk menipu dalam menyiapkan tugasan.

Ia juga menjadikan pelajar terbabit malas berusaha sendiri. Lebih parah lagi, ada pelajar yang menganggap tindakan menyerahkan tugas mereka kepada AI sebagai tindakan bijak, membanggakan serta patut dijadikan ikutan.

Akibat pergantungan yang keterlaluan kepada AI ini, ada dalam kalangan mahasiswa yang tdak mampu menulis dengan baik tanpa bantuan AI.

Persoalannya, apakah tindakan kita bagi menangani masalah ini agar dapat mengelakkannya daripada menjadi lebih parah?

Kejujuran dan tanggungjawab ialah perkara utama dalam mendidik kita menjadi insan yang berintegriti. Pelajar harus sedar mereka akan kalah kepada AI jika  tidak dapat berfikir tanpa bantuan AI.

Pihak sekolah dan universiti tidak boleh bersikap menutup sebelah mata. Tindakan tegas harus diambil demi kebaikan anak bangsa agar tidak terus lalai dan diperdaya oleh perasaan tamak serta sikap mementingkan diri sendiri.

Teknologi dicipta untuk mensejahterakan kehidupan manusia. Oleh itu, manusia harus bergerak selari dengan kemajuan dunia dan tidak mengikat diri kepada gagasan lama.

Kita tidak boleh bersifat statik dan takut akan perubahan. Untuk berjaya, kita harus berani melangkah dan sanggup bekerja kuat bagi bersaing dengan dunia luar yang lebih mencabar.

Kemajuan teknologi harus diraih dengan penuh tanggungjawab agar kita tidak menjadi tangan-tangan kotor yang membawa kepada kehancuran. Berhemahlah sentiasa dalam apa jua keadaan, terutamanya tatkala teruja dengan sesuatu perkara.

Selagi kita mempunyai sikap bertanggungjawab dan integriti yang tinggi, insya-Allah boleh lebih maju ke hadapan dan mengelakkan daripada terpesong ke jalan yang tidak benar.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN