KUALA LUMPUR: “Kalau sudah tahu penawarnya di BAM, mengapa masih enggan mendapatkan rawatan?”
Itu persoalan yang berlegar selepas prestasi beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus tenggelam, dengan episod terkini menyaksikan mereka tumbang seawal pusingan pertama Terbuka China, minggu lalu.
Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berpandangan ‘vaksin’ terbaik untuk memulihkan pasangan No.3 dunia itu hanya boleh ditemukan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
“Mereka tidak semestinya perlu kembali menyertai BAM, namun cukup sekadar mendapat rakan regu tetap dalam kalangan beregu kebangsaan bagi membantu memulihkan prestasi.
“Kalau mereka kembali ke BAM, ada program latihan yang tersusun. Kita ada Herry Iman Pierngadi dan Rexy Mainaky yang pakar dalam acara beregu dan arif dengan apa yang perlu dilakukan,” kata James kepada Utusan Malaysia.
Menurut James, jika tidak sekalipun menyertai BAM semula, Sze Fei-Izzuddin tetap memerlukan rakan latihan yang berkualiti seperti dua beregu terbaik negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk melonjakkan semula prestasi mereka.
Bagi James, tindakan kekal sebagai pemain profesional bukanlah isu utama, namun jika terlalu selesa beroperasi di luar ekosistem BAM, karier mereka mungkin berakhir lebih awal daripada dijangka.
“Sebenarnya mereka layak ke final Terbuka Jepun pun kerana undian yang memihak, tapi sekarang mereka sedang melalui fasa kejatuhan. Sesuatu yang dilalui semua atlet,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa jurulatih mereka, Teo Kok Siang kini memikul tanggungjawab besar untuk memastikan pasangan itu kembali berada pada prestasi terbaik menjelang Kejohanan Dunia di Paris dari 25 Ogos hingga 1 September ini.
“Mereka ada sebulan untuk melakukan persiapan menjelang Kejohanan Dunia, Inilah waktu terbaik untuk bina semula kekuatan mental, konsistensi dan keyakinan diri,” katanya lagi.
Untuk rekod, bekas beregu No. 1 dunia itu meninggalkan BAM pada September lalu dan walaupun timbul spekulasi mengatakan mereka akan kembali, Sze Fei menegaskan di Instagram bahawa mereka selesa kekal sebagai pemain profesional.
CAPTION
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani disaran agar memikirkan untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) demi memulihkan semula prestasi kedua-duanya. – AFP










